Tuesday, November 17, 2009

ABJZ sebagai "Pelepas Tanggungjawab"


“Mengapa Cikgu Ct. bersungguh-sungguh, beriya-iya melaksanakan ABJZ ( Anda Bijak Jauhi Zina) di sana sini ? Bagaimana pula Cikgu Ct. menyeimbangkan antara tugasan sebagai seorang isteri dan ibu di rumah, pada masa yang sama sibuk dengan program-program ABJZ ?”. Tak sampai lima minit aku melabuhkan punggung di dalam majlis ilmu di Manarul, tiba-tiba soalan demi soalan diajukan kepadaku. Hemmm… patutlah pun. Aku sepatutnya sampai di situ jam 2.30petang tetapi dengan izin Allah, aku sampai sekitar jam 4.25 petang. Lebih sejam berpusing-pusing sekitar USJ dan Kelana Jaya, mencari lokasi sebenar majlis ilmu diadakan. Walaupun ini bukan kali pertama aku pergi ke lokasi tersebut tetapi aku masih tidak berapa pasti jalan ke sana kerana selalunya aku pergi bersama suamiku.


Tanpa mengetahui tajuk ceramah yang disampaikan, aku terus menjawab. “Jawapan untuk soalan yang pertama : Sebenarnya penglibatan saya dalam ABJZ adalah sebagai pelepas tanggungjawab dari siksaan api neraka semasa bertemu dengan Allah nanti. Jawapan untuk soalan yang kedua pula : “Bantuan dan kerjasama dari suami banyak membantu saya menyeimbangkan antara tugasan rumah tangga dan tugasan dakwah”.

Di dalam surah Al-A’raf ayat 164 Allah berfirman ;

وَإِذَ قَالَتْ أُمَّةٌ مِّنْهُمْ لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا اللّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا قَالُواْ مَعْذِرَةً إِلَى رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
"Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: ""Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab apabila disoal di akhirat kelak) kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa”.

Di dalam Tafsir Ibnu Kathir, ayat ke 164 dalam surah Al-A’raf ini sebenarnya adalah kesinambungan dari ayat-ayat sebelumnya yang menceritakan kisah Bani Israel yang telah diperintahkan oleh Allah untuk beribadat pada hari Sabtu dan mereka dilarang menangkap ikan pada hari tersebut. Ketetapan ini telah disampaikan oleh Nabi dan ia adalah ujian kepada hamba-hambaNya.

Ditakdirkan Allah, pada setiap hari Sabtu terdapat ikan yang sangat banyak sehingga kelihatan melompat-lompat di tepian pantai sedangkan pada hari yang lain, nelayan dari kaum Bani Israel terpaksa menagkap ikan jauh ke tengah laut untuk menangkap ikan.

Dipendekkan cerita, kaum Bani Israel terbahagi kepada tiga golongan. Golongan yang pertama ialah mereka yang akur sahaja perintah Allah, beribadat pada hari Sabtu dan tidak turun menangkap ikan pada hari tersebut. Golongan yang kedua ialah orang-orang Yahudi yang membuat helah dengan membuat penghadang supaya ikan yang datang ketepian pantai pada hari Sabtu, terperangkap dan tidak dapat kembali ke laut. Pada keesokan harinya barulah mereka mengutip hasil tangkapan. Golongan inilah yang melanggar perintah dan larangan Allah dengan tipu helah mereka. Golongan yang tiga pula ialah mereka yang menuruti perintah Allah dan pada masa yang sama memberi peringatan kepada golongan yang kedua akan perlanggaran yang telah mereka lakukan. Mereka juga diperingatkan akan kecelakaan yang menanti atas kesalahan mereka.

"Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: ""Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Pertanyaan ini diajukan oleh golongan pertama kepada golongan ketiga yang melaksanakan usaha-usaha nahi mungkar. Jawab kumpulan yang ketiga, "(Nasihat itu ialah) agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab apabila disoal di akhirat kelak) kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa”. Begitulah jawapan ikhlas golongan ketiga walaupun sudah jelas, golongan kedua adalah golongan yang ingkar akan perintah Allah dan sengaja melakukan perlanggaran tersebut. Tiada istilah putus asa dalam diri mereka malahan mereka terus berusaha agar ada di kalangan golongan yang ingkar ini, sedar dan bertaubat serta kembali bertaqwa kepada Allah.

Sebenarnya ayat ini telah dibawa ke dalam modul ABJZ oleh master trainer, Ummi Rose. Setiap kali Ummi Rose menyebut ayat ini, setiap kali itulah menggeletar hati ini teringatkan kekuasaan dan kerasnya siksaan Allah. ”Ya Allah, sungguh tinggi kebesaranMu. Sungguh tak sanggup aku melihat kerosakan, kemusnahan harta dan jiwa akibat bencana yang kerap minimpa bertali arus di akhir zaman ini. Sungguh, ia menggambarkan kerasnya azabMu. Ya Aziz, apalah dayaku ...... labih keras lagi siksaMu di neraka jahim. Aku, hambaMu yang kerdil memohon Rahmat dan KasihMu. Ya Ghafur...maafkanlah kesalahan dan dosa mereka. Sesungguhnya mereka jahil akan perintahMu. Berikan aku kekuatan untuk terus istiqamah di jalanMu ini, anugerahkan aku hikmah kebijaksanaan agar kehadiranku mampu menyentuh jiwa-jiwa gersang yang dahagakan kebenaran. Pilihlah dan masukkanlah kami dari kalangan hamba-hambaMu yang bersyukur. Amin ya Rabbal ’Alamin”.


Teringat pula akan lirik melodi yang sungguh menyentuh kalbu khas buat anak-anak yang sering terlupa;

Apa yang dikejar dalam hidupmu,
Berkali ku kata padamu,
Kita singgah di dunia yang sementara,
Penuh tipu daya.....
Yang kekal,
Di sana,
Biarlah kita berSAMA,
Usahlah hanyut,
Terus terlena....kerana dunia..

Sunday, November 8, 2009

Sehari RS Berprogram di Rompin

Alhamdulillah, baru sahaja pulang dari program ABJZ yang telah berjaya dilaksanakan di dewan sekolah SMK Muadzam Jaya. Sebanyak lima buah sekolah telah menghantar peserta di sekitar Rompin iaitu SMK Muadzam Jaya, SMK Muadzam Shah, SMK Keratong, SMK Perantau Damai dan SMK Bandar Tun Razak. Program kali ini adalah anjuran Seksyen Syariah, Pejabat Peguam Negara sempena Persidangan Tahunan dan Program Khidmat Masyarakat yang berlangsung pada 6 - 8 Nov 2009 di Rompin, Pahang. Beberapa aktiviti khidmat masyarakat yang lain turut diadakan iaitu khidmat membaiki dua buah rumah yang telah usang yang dimiliki oleh penduduk miskin, majlis akiqah oleh pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara dan lain-lain lagi. Empat ekor kambing dan seekor lembu telah dikorbankan dan penyediaan makanan dibuat secara bergotong royong (rewang) bersama penduduk Kg Leban Chondong. Dalam program ini, RS telah diberi kepercayaan untuk mengisi slot motivasi pada 7hb November 2009 bermula 9pagi hingga 1.00 petang.

Program dimulakan dengan menjelaskkan matlamat hidup,
sejarah asal usul kejadian dan aku janji yang telah dimeterai semasa di alam roh untuk mengabdikan diri semata-mata kepada Allah s.w.t. Penjelasan telah dikukuhkan dengan khabaran Allah Azza Wajalla yang telah dirakamkan di dalam Al-Quran Al-Karim. Kebenaran proses penciptaan manusia oleh al-Quran lebih seribu empat ratus tahun dahulu, akhirnya telah diakui oleh penemuan Sains khususnya dalam bidang ambriologi yang baru menemuinya menerusi teknologi canggih menjelang abad ke dua puluh. Subhanallah......


Cinta adalah suatu anugerah dari Tuhan. Impak cinta kepada diri manusia ialah sama ada cinta akan menjadikan seseorang itu manusia yang terbaik ataupun sebaliknya. Seks pula adalah keperluan hidup manusia yang juga diberikan Tuhan bagi menjamin kesinambungan zuriat keturunan manusia di muka bumi ini. Kedua-dua hakikat cinta dan seks ini sering disalah tafsir oleh remaja hingga akhirnya memberi kesan kepada permasalahan sosial termasuklah seks bebas, kehamilan luar nikah, pengguguran tidak selamat dan pembuangan bayi. RS menampilkan pengajaran-pengajaran yang dambil dari Rumah Perlindungan RS sebagai teladan kisah benar sebagai usaha pencegahan di peringkat awal.

Kesan cinta yang tidak diurus dengan betul boleh mengundang padah. Berzina seringkali menjadi natijah daripada kekeliruan antara cinta dan seks. Selain daripada azab Tuhan yang menanti di akhirat, bala Allah secara terang-terangan sampai kepada manusia menerusi jangkitan penyakit kelamin atau STD kepada penzina malahan boleh menjangkiti pasangan (isteri) dan anak yang tidak berdosa. Contoh-contoh penyakit kelamin seperti AIDS, siphylis, gonorrhea, genital herpes, genital wart dan lain-lain lagi diterangkan kepada peserta-peserta.


Bercinta dan keluar dengan pasangan adalah perkara biasa bagi remaja hari ini. Tidak hairan, hasil soal selidik mendapati 44% daripada peserta yang hadir, sedang bercinta. 69% yang sedang bercinta ini, keluar dengan pasangan masing-masing. Inilah diantara jalan-jalan yang membuka ruang kepada penzinaan. RS amat menitik beratkan kesedaran tentang bahaya melakukan perbuatan-perbuatan yang menghampiri zina. Lebih menyedihkan, 3% daripada mereka telahpun berzina. Begitulah hakikatnya senario percintaan remaja pada hari ini. Melalui program ABJZ kami mendapati, setiap sekolah mahupun IPT yang kami kunjungi pasti ada saja remaja yang telah berzina. Paling menggerunkan, IPT yang menyediakan tenaga graduan yang bakal mendidik anak bangsa, juga tidak terkecuali dari permasalahan ini.


Tugas kita sebagai manusia ialah berusaha dan terus berusaha. Selebihnya terserahlah kepada Allah untuk menentukan hasilnya. ABJZ adalah usaha kerdil pihak RS untuk membendung kemelut sosial yang semakin membarah di dalam masyarakat. Kalau tidak semuapun yang berjaya disedarkan, sedikit yag insaf sudah cukup memberi motivasi kepada team ABJZ untuk terus menyusun langkah membaiki masyarakat. Peserta yang belum sedar tetap mendapat maklumat yang tepat mengenai bahaya menghampiri zina.



Ummi Rose sibuk melayani peserta-peserta dan menerima ucapan terima kasih yang tidak terhingga kerana pertama kali mereka didedahkan tentang perkara sebegini. Program ini bersifat informatif dan akan menjadi bekalan buat remaja meneruskan kehidupan meniti alam dewasa.


Slide 10

Gambar kiri ialah Puan Salwani Abdullah bersama Cik Airen. Mereka adalah peguam yang menjadi PIC bagi program motivasi, menguruskan penginapan dan pengangkutan kami di Rompin. Gambar di tengah pula ialah rakaman penceramah bersama Cikgu Fauzi (kiri) kaunselor SMK Muadzam Jaya, En Hafizun (Peguam) dan Pn Salwani (Peguam). Peserta-peserta juga tidak ketinggalan merakamkan gambar kenangan bersama Cikgu Ct.



Pada waktu petang, slot motivasi keibubapaan pula diadakan di Dewan Orang Ramai Kg Leban Chondong. Anggaran awal kehadiran peserta adalah sekitar 50 orang, memandangkan sambutan yang dingin di sebelah pagi apabila program Klinik Guaman dijalankan. Namun, menurut PIC kehadiran mencecah 200 orang untuk sesi petang. Alhamdulillah...semuanya adalah di dalam peraturan Allah.



Peserta-peserta yang hadir tekun mendengar perkongsian oleh team RS yang mendedahkan realiti masalah sosial oleh golongan remaja dan belia yang amat membimbangkan. Terdapat juga peserta yang membuat cacatan berupa fakta dan saranan-saranan bagi membendung permasalahan ini. Peserta yang hadir majoritinya adalah golongan dewasa. Malahan ada di antara mereka mencecah usia emas dan masalah yang dihadapi adalah cabaran mendidik cucu yang sedang meningkat remaja.



Fasa pendidikan anak-anak terbahagi kepada tiga seperti yang disarankan oleh Saidina Ali. Fasa pertama adalah semasa usia anak-anak 1 hingga 7 tahun. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak melalui bermain. Fasa kedua, semasa usia anak-anak diantara 7-14 tahun. Peringkat ini, anak-anak perlu dididik dengan cara disiplin. Penekanan tentang solat amatlah penting dan ibu bapa perlu mengajak anak-anaknya mendirikan solat, bukan menyuruhnya solat. Begitulah sunnah yang diajarkan Rasulullah.
Mereka boleh dipukul dengan pukulan yang tidak mencederakan bagi tujuan mendidik. Fasa ketiga ialah apabila usia anak-anak mencecah 14 tahun dan seterusnya. Anak-anak pada masa ini perlu menjadi kawan kepada ibu bapa. Sebagai seorang kawan, minatnya harus raikan. Pendapatnya perlu didengar dan rahsianya perlu dijaga. Namun, tidak bermakna perbuatan yang salah perlu dibiarkan. Teguran membina sangat diperlukan selain doa berterusan agar anak-anak menjadi insan yang bertaqwa di sisi Allah s.w.t.


Sifat tanggungjawab sebagai seorang khalifah di muka bumi, perlu diterapkan dalam diri anak-anak bermula di rumah. Kebergantungan semata-mata kepada pihak sekolah perlu dielakkan. Kejayaan seorang anak tidak boleh hanya dilihat kepada pencapaian akademiknya. Bagi anak yang potensinya dalam bidang kemahiran seperti masakan atau kimpalan, kejayaan perlu diukur kepada kualiti hasil kerja tangan mereka. Kecemerlangan juga boleh diperolehi apabila potensi diri anak-anak dapat dibangunkan mengikut minat dan kehendak masing-masing selagi ianya berada di landasan yang benar. Kecantikan akhlak dan ketinggian budi pekerti semestinya menjadi pelengkap kepada kecemerlangan yang diharapkan.


Ummi Ros meladeni soalan demi soalan berkisar cabaran pendidikan anak-anak. Ibu tunggal yang telah kematian suami juga tidak ketinggalan menyuarakan kesyukurannya hadir ke majlis pada petang itu dan banyak mendapat input daripada ceramah yang disampaikan. Perasaan terharu tidak dapat dibendung sehingga mengalirkan air mata tanda kesyukuran. Gambar di sebelah kanan ialah ibu Yus bersama seorang peserta yang berusia 78 tahun. Subhanallah, pertama kali program yang dikendalikan oleh RS dihadiri oleh peserta dari golongan warga emas yang mencecah usia 78tahun. Namun, makcik ini kelihatan sihat dan ceria serta teruja dengan ceramah yang disampaikan. Beliau yang mempunyai 7 orang cicit mengambil kesempatan bersalam-salaman dengan kami seusai majlis tamat.



Indahnya alam ciptaan Tuhan yang Maha Indah. Subhanallah.....ya Rabb.
Sekembali dari program keibubapaan, Cikgu Ct dan Cifu Rosmawati mengambil kesempatan menghirup udara senja di belakang Hotel sekitar jam 6.45petang. Agak mendebarkan mendegar deruan ombak Laut China Selatan yang menyapa gigi pantai. Lebih mendebarkan apabila dikhabarkan tentang Sunami kecil baru sahaja melanda dua tiga hari sebelum ketibaan kami. "Ya Allah, dimana-manapun tentu kami akan mati. Apapun, izinkan kami menyempurnakan misi ini terlebih dahulu. Amin...". Syukur, misi telahpun berjaya dilaksanakan dan tentunya baki kehidupan ini perlu diinfaqkan untuk terus berjihad di jalanMu ya Allah.


Majlis perasmian diadakan sekaligus dengan majlis makan malam. Kambing dan daging akiqah telah menjadi menu utama makan malam yang disediakan. Kesihatan Ibu Yus sedikit terganggu, mungkin disebabkan pengambilan makanan yang kurang sesuai setibanya kami di sana. Apapun, kami sedaya upaya memenuhi jadual program yang telah diaturkan oleh pihak penganjur. Duduk semeja dengan kami ialah imam Masjid Rompin, juara Tahfiz Daerah Rompin dan Suhaimi (penasyid, ex inteam). Kesempatan yang ada kami membina jaringan hubungan dangan mereka. Suhaimi menawarkan 'jv' program untuk memberi sumbangan kepada RS. Imam Masjid pula akan menguar-uarkan tentang RS dan berhasrat mengutip sumbangan dari ahli kariahnya untuk diberikan kepada RS. Sesungguhnya, Allah akan membantu hamba-hambaNya yang membantu agamaNya. Yakinlah......



Yang Berbahagia, Tan Sri Abdul Ghani Patail telah merasmikan Persidangan Tahunan dan Program Khidmat Masyarakat dalam majlis ini. Beliau juga menyampaikan sumbangan kepada warga emas, saudara baru khususnya dari kalangan orang asli dan penduduk miskin di sekitar Rompin. Pihak RS juga tidak ketinggalan menerima plak dan cenderahati di atas sumbangan yang diberikan.

Monday, October 19, 2009

Perjumpaan Alumni RS Pertama


Alhamdulillah, pada 17 Oktober (Sabtu) 2009 perjumpaan Alumni RS yang pertama telah berjaya diadakan di RS Selangor. Majlis dihadiri seramai sebelas orang bekas pelatih. Melihat kepada kesungguhan sekretariat Alumni berusaha menjayakan program terutamanya kesungguhan mereka mengumpulkan seramai mungkin rakan-rakan 'selatihan', hati kami merasa seolah-olah melihat bunga kembali berputik dan mula berkembang. Walaupun bilangan yang hadir agak kecil tetapi cukup memberi kepuasan kepada kami untuk terus membimbing remaja bermasalah dan mengislahkan masyarakat untuk bersama-sama menyemarakkan usaha-usaha amar makruf dan nahi mungkar.

Kehadiran alumni RS disambut dengan salam ukhuwwah dari adik-adik pelatih. Pelukan erat oleh para alumni menjadi pengubat rindu terhadap suasana ukhuwwah yang penuh dengan sakinah ketika dalam proses bimbingan. Linangan air mata kesyukuran tidak dapat ditahan-tahan lagi dan kali ini, air mata menjadi penguat semangat untuk adik-adik pelatih agar terus sabar dibimbing oleh para sukarelawan di RS.


Majlis bermula pada pukul 10 pagi. Ada dikalangan alumni yang hadir telah bekerja dan ada juga yang sedang belajar di Institusi Pengajian Tinggi Tempatan tidak kurang juga yang telah mendirikan rumahtangga. Allahuakhbar!!! "Dah jadi manusia anak-anak ini" :-). Masih terbayang lagi cabaran membimbing mereka selama tempoh tiga belas bulan di RS.

Lazimnya, wajah pelatih RS pada hari pertama diterima masuk mengikuti bimbingan dan latihan di RS sangat berbeza dengan wajah mereka pada bulan ketiga bimbingan. Wajah mereka akan kelihatan lebih terang dan tenang. Cara pertuturan mereka juga berubah dan akhlak mereka kelihatan lebih baik serta penampilan lebih bersopan santun. Melihat perubahan ini menyebabkan terdapat ibubapa yang merasakan anak mereka sudah pulih dan ingin membawa anak mereka pulang terus ke pangkuan keluarga tanpa memenuhi tempoh tiga belas bulan bimbingan. Namun, pihak RS dengan penuh hikmah akan menjelaskan kepada ibubapa dan keluarga supaya memberi peluang sepenuhnya kepada anak mereka menjalani sesi bimbingan dan latihan di RS seperti yang telah dipersetuji semasa kemasukan awal pelatih di RS.


Selepas Ummi Rose dan Cikgu Siti memberi ucapan sepatah dua kata, majlis disambung dengan sesi ta'aruf. Kakak-kakak lepasan RS begitu teruja berkenal-kenalan dengan pelatih baru yang majoritinya tidak pernah mereka temui. Begitulah juga sebaliknya. Sesi ta'aruf dibuat dalam bentuk permainan yang sangat menarik dan ianya menjadikan majlis lebih ceria.

Friday, August 28, 2009

ABJZ di UPSI, 7 Ramadhan 1430 H

Program ABJZ kepada bakal-bakal guru telah diadakan denngan jayanya di Dewan Kuliah A, Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 28 Ogos 2009 (Jumaat) bersamaan 7 Ramadhan 1430 H.


Program kali ini telah dianjurkan oleh Pelajar Semester I, Pengajian Pendidikan Ekonomi Rumah Tangga (ERT), UPSI. Seramai 94 orang siswi telah menghadiri program ini.




Barisan Pencermah, Penasihat Pelajar Dr Fauziah Hanim Bt Abd Jalal dan Peserta-peserta Program Anda Bijak Jauhi Zina.



Pospond sex until marrige

Sekitar tahun 1980-an, Negara Amerika telah mengedarkan pil perancang dan kondom secara percuma di sekolah-sekolah bagi tujuan mengurangkan risiko kehamilan tidak dirancang dan mengelakkan dari merebaknya penyakit kelamin di kalangan remaja. Pada ketika itu, remaja di Amerika suka melakukan seks bebas dan pelbagai masalah berlaku akibat cara hidup mereka ini. Kaedah yang diamalkan didapati tidak berkesan. Kini, Amerika mengubah kaedah kepada program pencegahan dengan kempen yang baru iaitu “Pospond sex until marrige. Begitulah yang al-Quran telah ajarkan sejak 1430 tahun dahulu, "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan satu jalan yang mungkar" Al-Israq : 32.Slide 11




“ Cinta adalah suatu yang suci…. Jadikan cinta sebagai pemangkin untuk kita

cintakan syahid dalam mengejar kebahagiaan abadi di syurga nanti.”




Peserta-peserta khusyuk mendengar penerangan oleh penceramah-penceramah berpengalaman.




“ Sebelum berkahwin, setiap pasangan mempamerkan perlakuan yang terbaik supaya pasangannya yakin akan kehebatnnya.”




Seorang pendidik mestilah sentiasa berusaha meningkatkan Ilmu Pengetahuan dari masa ke semasa dan ikhlas dalam mendidik anak-anak bangsanya kerana Allah s.w.t.




Cendarahati sebagai tanda bermulanya

Kempen Anda Bijal Jauhi Zina di UPSI


Wednesday, July 22, 2009

Mansuh PPSMI 2012

Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri Majlis Perhimpunan Warga Pendidik Kementerian Pelajaran Malaysia pada 21 Julai 2009 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Beberapa perkara ingin saya kongsikan daripada ucap utama Menteri Pelajaran Malaysia, Y.A.B Tan Sri Muhyidin Mohd Yassin.

Empat dasar baru yang diperkenalkan sejak beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Malaysia :
1) Penetapan had 10 matapelajaran untuk SPM.
2) Memperkasa Sukan Sekolah.
3) Cadangan Bahasa Inggeris (BI) sebagai syarat lulus SPM.
4) Memansuhkan PPSMI mulai 2012 digantikan dengan MBM MBI (Memertabat Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris).

Dasar 1 :
Penetapan had 10 matapelajaran untuk SPM.
Senario pada hari ini, pelajar mendaftar terlalu banyak mendaftar matapelajaran dalam SPM dan berlumba-lumba mengumpul sebanyak mungkin A. Ini tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk melakukan anjakan iaitu dari sistem peperiksaan kepada sistem penilaian yang lebih menyeluruh ( jasmani, emosi, rohani dan spiritual ). Secara tidak langsung mengabaikan perkembangan pelajar secara holistik. Aspek "soft skill" yang amat penting dikuasai oleh pelajar supaya mampu bersaing dalam pasaran kerja yang sangat kompetatif pada masa ini, hanya dapat direalisasikan melalui suatu sistem pentaksiran yang lebih menyeluruh . 10 matapelajaran adalah mencukupi bagi menilai kemampuan pelajar dari segi akademik. Secara tidak langsung, tekanan kepada pelajar dapat dikurangkan dan dapat memberi laluan kepada pihak sekolah untuk melebihkan aktiviti ko-kurikulum dan sukan.

Dasar 2 : Memperkasa Sukan Sekolah.
Jurulatih sukan akan ditempatkan di sekolah-sekolah bagi mengurus sukan di sekolah. Institusi Pendidikan Guru untuk melahirkan jurulatih sukan akan diadakan.

Dasar 3 :
Cadangan Bahasa Inggeris (BI) sebagai syarat wajib lulus SPM.
Rasional : Untuk memastikan anak-anak menguasai BI dengan baik supaya mudah mendapat peluang pekerjaan. Penguasaan BI yang baik juga adalah nilai tambah bagi diri pelajar-pelajar supaya mampu menceburkan diri dalam sektor yang berdaya saing tinggi dan mampu memenuhi pasaran global. Terdapat pihak yang melahirkan kebimbangan terhadap cadangan ini. Keputusan SPM 2008 yang lepas, hanya 26.9% pelajar luar bandar lulus BI. Sekiranya BI adalah syarat wajib lulus SPM, ini bermakna 73.1% pelajar luar bandar akan gagal di dalam SPM. Walaubagaimanapun, kementerian perlu terus berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan pelajar lemah bagi menguasai BI. 'Leveling up' perlu dilakukan kepada pelajar luar bandar supaya turut dapat bersaing dalam pasaran kerja yang kompatatif. Syarat ini masih dalam kajian dan cadangan.

Dasar 4 :
Memansuhkan PPSMI mulai 2012.
PPSMI akan mula dimansuhkan pada tahun 2012 dan pada masa yang sama mengambil tindakan yang drastik untuk memperkukuh BI. Dasar Memertabat Bahasa Melayu dan memperkukuh Bahasa Inggeris (MBM MBI) diperkenalkan sebagai ganti PPSMI.

Pengajaran Matematik dan Sains di dalam Bahasa Melayu adalah penting untuk pelajar memahami konsep Matematik dan Sains. Kajian saintifik yang dilakukan oleh beberapa pihak menunjukkan, pelajar lebih mudah memahami konsep Matematik dan Sains di dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda.

Data rasmi menunjukkan, pencapaian Matematik dan Sains terus merosot semasa PPSMI dilaksanakan. Keputusan UPSR 2008, 30.6% pelajar darjah enam gagal BI. Ini menunjukkan penguasaan BI yang masih lemah. Kesannya, guru-guru menghadapi masalah menggunakan BI di dalam P&P Matematik dan Sains. Hanya 6-8% sahaja guru menggunakan BI melebihi 90% sewaktu mengajar Matematik dan Sains dan peratus ini hanya tertumpu di sekolah bandar.


Ada pihak yang tidak bersetuju dengan pemansuhan PPSMI

dengan alasan anak-anak mereka tetap cemerlang walaupun PPSMI dilaksanakan. Sebenarnya hanya segelintir sahaja pelajar yang dapat menguasai Matematik dan Sains di dalam BI khususnya sekolah yang berada di dalam kawasan 'elit'. Pelajar yang sederhana pencapaian dalam BI juga sukar menguasai Matematik dan sains yang diajar di dalam BI, apatah lagi pelajar yang lemah BI. Hanya 8% sahaja pelajar yang mampu menguasai Matematik dan Sains di dalam BI dalam negara kita. Majoriti pelajar yang sederhana dan lemah akan terus ketinggalan. Situasi 'knowledge defisit' akan berlaku kerana pelajar tidak dapat menguasai ilmu Sains dan Matematik disebabkan masalah bahasa.

UNESCO memperakui bahasa ibunda adalah bahasa penghantar yang terbaik khususnya di peringkat rendah. UNESCO juga memperakukan matlamat pendidikan untuk semua menggunakan bahasa ibunda.

Insentif khas akan diberikan kepada guru-guru BI yang mengajar di luar bandar.


Catatan;
Cikgu Siti.

Saturday, July 11, 2009

TOT ABJZ PENANG

Alhamdulillah, ABJZ Zon Utara telah berjaya dilaksanakan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 11 Julai 2009 (Sabtu). Seramai 56 orang peserta telah hadir mengikuti siri latihan ABJZ kali ini. Kursus bertempat di Hotel Sri Malaysia, Kepala Batas. Peserta yang hadir termasuklah dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.



TOT ABJZ adalah anjuran bersama RS Pusat dan RS Cawangan (Pulau Pinang). Cik Roha Hassan selaku Pengarah Program, menjadi mengemudi utama program ini. Pn Mardiana dan Pn Inayah dan Jawatan Kuasa Program dari pasukan RS Pulau Pinang berusaha seoptimum mungkin memastikan program berjalan lancar dan mencapai objektif yang telah digariskan.








Peserta-peserta kursus diberi penekanan tentang mesra dan sayangi remaja apabila menyantuni golongan ini khususnya yang bermasalah.

Kesediaan dari segi ilmu dan maklumat terkini amat dititik beratkan supaya pendekatan yang dilaksanakan lebih sesuai dan berkesan.








Ummi Roses menyampaikan bahan-bahan program yang perlu disampaikan kepada remaja dan belia diselang-selikan pengalaman mengendalikan dan membimbing remaja bermasalah, kembali ke pangkal jalan.

Penyampaian hendaklah dilahirkan dari hati yang ikhlas kerana Allah semata-mata supaya mudah sampai ke dalam sanubari hati anak-anak remaja.









Selain dari TOT ABJZ, kemahiran lain yang perlu dilengkapkan ialah kemahiran membimbing, kemahiran mendengar, kemahiran meneliti luahan perasaan serta mengenalpasti permasalahan sebenar, kemahiran menunjukkan jalan kebenaran dan sabar berusaha walaupun terdapat pelbagai rintangan yang menanti di sepanjang perjalanan.







Musyawarah dan kerja secara berpasukan merupakan kunci kejayaan. Musyawarah adalah sunnah yang diamalkan oleh Ar-Rasul s.a.w sewaktu menyampaikan risalah kebenaran dan melenyapkan kebatilan yang menyelubungi dunia jahiliyyah lebih seribu empat ratus tahun dahulu. Barakah Allah turun bersama-sama barisan yang tersusun kukuh ini. InsyaAllah. Hasil usaha kita serahkan kedanyaNya. Usaha ini adalah sebagai pelepas dari azab siksa api neraka sewaktu hari yang tidak ada sesiapapun penolong buat diri kita.



70 - 80% remaja memperolehi maklumat seks melalui rakan sebaya. Natijahnya, maklumat yang sampai kepada mereka tidak tepat malahan mungkin salah. Sebagai contoh, cara mengelakkan dari mengandung adalah mengadakan hubungan seks semasa haid. Maklumat ini diperolehi seawal usia dua belas tahun. Ada juga yang mengatakan, pancut di luar. Apabila ditanya bagaimana mahu memastikan teman lelaki benar-benar pancut di luar. Mudah sahaja jawapannya, "entah!!!!"





"Kitalah yang seharusnya mendidik dan membimbing anak-anak remaja tentang seks dan cinta. Barulah maklumat yang diberikan betul dan tepat". Ummi Rose dan Ibu Yus merupakan jurulatih utama RS yang terus istiqamah dalam usaha pencegahan dan memberi bimbingan kepada remaja. Hampir tidak menang tangan memenuhi jemputan dan undangan dari pelbagai pihak yang mahu ABJZ dilaksanakan di tempat mereka. Lebih ramai lagi jurulatih diperlukan dalam merialisasikan Gejala Sosial Sifar Menjelang 2020.




Sijil penyertaan hanya diberi kepada peserta yang mengikut kursus TOT ABJZ sepenuhnya. Mana-mana individu atau kumpulan yang ingin menganjurkan ABJZ di lokaliti masing-masing, disarankan membuat penganjuran program bersama RS. Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) telah dimulakan oleh RS di bawah Wanita JIM pada tahun 2007 dan kempen ini telah dilancarkan pada 14 Julai 2007 di Cheras, Kuala Lumpur.








Tidak lokek berkongsi ilmu dan pengetahuan, tidak malu bertanya kepada yang lebih mengetahui dan berpengalaman, itulah sebahagian resepi kejayaan. Peserta dibekalkan bahan-bahan berkaitan ABJZ. Boleh sahaja digunakan dan dibuat penambahbaikan. RS sentiasa sedia melayan pertanyaan dan mengadakan perbincangan demi memastikan keseragaman kualiti program ABJZ berterusan.








Salwati Yaakub dan anak-anak. Walaupun tidak berkesempatan mengikuti TOT ABJZ kali ini, sokongan moral tetap diberikan. Sahabat.... semoga terus sukses dan beroleh PHD seperti yang diharapkan. Jom! menebar peduli kepada anak-anak bangsa......






Cikgu Siti Aini melaporkan.

Monday, May 18, 2009

TOT ABJZ Negeri Sembilan


"Trains Of Trainers" (TOT) ABJZ kembali lagi pada 17 Mei 2009, Ahad bertempat di Pejabat JIM Dataran Senawang, Negeri Sembilan. TOT ABJZ kali ini adalah anjuran Wanita JIM Negeri Sembilan dengan kerjasama Raudhatus Sakinah.

Pn Hajah Minah Bte Ahmad memulakan Ucapan Aluan dengan penuh bersemangat bagi menceriakan majlis di pagi Ahad. Alhamdulillah, seramai 35 orang peserta yang hadir dan mengambil bahagian. Sasaran kursus adalah kepada guru-guru, kaunselor dan aktivis JIM khususnya bagi Zon Selatan.

K.Yus menerangkan kesan akibat zina yang jarang sekali diketahui atau difikirkan oleh para remaja hari ini. Pengalaman dari fail RS berkenaan pelatih-pelatih RS yang mengalami Sexually Transmitted Disease(STD) seperti Sipilis dan HIV positif turut dikongsi bersama. Bekas pelatih RS yang disahkan HIV positif baru sahaja meninggal dunia di rumah kakaknya pada malam Khamis yang lepas kerana sukar bernafas. Doktor mengesahkan paru-parunya gagal berfungsi. Semoga, almarhumah redha di atas kifarah Allah dan taubatnya diterima olehNya. Al-fatihah.

Para peserta khusyuk mendengar pengisian oleh para 'traners' ABJZ yang didatangkan khas dari RS. Maklumat berkaitan bahan-bahan program ABJZ, tips pengendalian dan penganjuran ABJZ, Persoalan berkaitan Cinta Remaja, Sejarah Kehidupan Manusia dikongsi bersama bagi membantu para peserta dalam melebar luaskan kempen ABJZ kepada masyarakat khususnya remaja .

Ummi Roses sedang menyemak dan mengemaskini bahan 'presentation'. Siap siaga dan sentiasa bersedia berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam melayani karenah remaja serta menyantuni golongan GenY agar menjauhi diri dari perkara-perkara yang menghampiri Zina. "If you can't fight them, you join them". Begitulah sewajarnya cara fikir orang dewasa yang ingin mengislahkan para remaja agar kembali ke jalan yang diredhai Allah. Kita perlu turut serta dalam perkembangan teknologi digital dan sama-sama menyaingi remaja di alam maya. Contoh, Face Book (FC), blog, YM dan lain-lain lagi.


Kak Aryati Arifin, salah seorang AJK program merupakan senior USM yang telah berusaha keras dalam memastikan diriku berada di jalan ini pada hari ini. Terima kasih K.R. Semoga kita terus istiqamah meneruskan perjuangan yang penuh berliku ini.


Bengkel ABJZ, bukan sekadar teori. Dalam menjalani aktiviti kumpulan, peserta diberikan kajian kes berkisar masalah, cinta dan seks remaja. Mereka diberikan soalan berpandu dan hasil perbincangan kumpulan akan dibentangkan di hadapan peserta yang lain. Mencabar juga rupanya nak turun ke aras pemikiran remaja bermasalah ni ye. Membuat sendiri 'homework' iaitu turun padang melaksanakan aktiviti nahi mungkar memudahkan kita membantu dan membimbing remaja bermasalah kembali ke pangkal jalan.

Kaunselor dari Politeknik turut serta mengambil bahagian dalam memberi idea dan buah fikiran dalam aktiviti kumpulan. JKM juga telah menghantar dua orang kaunselor menyertai kursus ini.


Barisan 'traners' bersama sebahagian jawatan kuasa penganjur program. Tahniah dan syabas kepada jawatankuasa kerja TOT ABJZ Negeri Sembilan kerana menjayakan program ini. Alhamdulillah, teruskan usaha kalian. ANDA BIJAK JAUHI ZINA!

Anda Bijak Jauhi Zina

Anda Bijak Jauhi Zina
“Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (QS Al-Isra’, 17/32)