Sunday, November 8, 2009

Sehari RS Berprogram di Rompin

Alhamdulillah, baru sahaja pulang dari program ABJZ yang telah berjaya dilaksanakan di dewan sekolah SMK Muadzam Jaya. Sebanyak lima buah sekolah telah menghantar peserta di sekitar Rompin iaitu SMK Muadzam Jaya, SMK Muadzam Shah, SMK Keratong, SMK Perantau Damai dan SMK Bandar Tun Razak. Program kali ini adalah anjuran Seksyen Syariah, Pejabat Peguam Negara sempena Persidangan Tahunan dan Program Khidmat Masyarakat yang berlangsung pada 6 - 8 Nov 2009 di Rompin, Pahang. Beberapa aktiviti khidmat masyarakat yang lain turut diadakan iaitu khidmat membaiki dua buah rumah yang telah usang yang dimiliki oleh penduduk miskin, majlis akiqah oleh pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara dan lain-lain lagi. Empat ekor kambing dan seekor lembu telah dikorbankan dan penyediaan makanan dibuat secara bergotong royong (rewang) bersama penduduk Kg Leban Chondong. Dalam program ini, RS telah diberi kepercayaan untuk mengisi slot motivasi pada 7hb November 2009 bermula 9pagi hingga 1.00 petang.

Program dimulakan dengan menjelaskkan matlamat hidup,
sejarah asal usul kejadian dan aku janji yang telah dimeterai semasa di alam roh untuk mengabdikan diri semata-mata kepada Allah s.w.t. Penjelasan telah dikukuhkan dengan khabaran Allah Azza Wajalla yang telah dirakamkan di dalam Al-Quran Al-Karim. Kebenaran proses penciptaan manusia oleh al-Quran lebih seribu empat ratus tahun dahulu, akhirnya telah diakui oleh penemuan Sains khususnya dalam bidang ambriologi yang baru menemuinya menerusi teknologi canggih menjelang abad ke dua puluh. Subhanallah......


Cinta adalah suatu anugerah dari Tuhan. Impak cinta kepada diri manusia ialah sama ada cinta akan menjadikan seseorang itu manusia yang terbaik ataupun sebaliknya. Seks pula adalah keperluan hidup manusia yang juga diberikan Tuhan bagi menjamin kesinambungan zuriat keturunan manusia di muka bumi ini. Kedua-dua hakikat cinta dan seks ini sering disalah tafsir oleh remaja hingga akhirnya memberi kesan kepada permasalahan sosial termasuklah seks bebas, kehamilan luar nikah, pengguguran tidak selamat dan pembuangan bayi. RS menampilkan pengajaran-pengajaran yang dambil dari Rumah Perlindungan RS sebagai teladan kisah benar sebagai usaha pencegahan di peringkat awal.

Kesan cinta yang tidak diurus dengan betul boleh mengundang padah. Berzina seringkali menjadi natijah daripada kekeliruan antara cinta dan seks. Selain daripada azab Tuhan yang menanti di akhirat, bala Allah secara terang-terangan sampai kepada manusia menerusi jangkitan penyakit kelamin atau STD kepada penzina malahan boleh menjangkiti pasangan (isteri) dan anak yang tidak berdosa. Contoh-contoh penyakit kelamin seperti AIDS, siphylis, gonorrhea, genital herpes, genital wart dan lain-lain lagi diterangkan kepada peserta-peserta.


Bercinta dan keluar dengan pasangan adalah perkara biasa bagi remaja hari ini. Tidak hairan, hasil soal selidik mendapati 44% daripada peserta yang hadir, sedang bercinta. 69% yang sedang bercinta ini, keluar dengan pasangan masing-masing. Inilah diantara jalan-jalan yang membuka ruang kepada penzinaan. RS amat menitik beratkan kesedaran tentang bahaya melakukan perbuatan-perbuatan yang menghampiri zina. Lebih menyedihkan, 3% daripada mereka telahpun berzina. Begitulah hakikatnya senario percintaan remaja pada hari ini. Melalui program ABJZ kami mendapati, setiap sekolah mahupun IPT yang kami kunjungi pasti ada saja remaja yang telah berzina. Paling menggerunkan, IPT yang menyediakan tenaga graduan yang bakal mendidik anak bangsa, juga tidak terkecuali dari permasalahan ini.


Tugas kita sebagai manusia ialah berusaha dan terus berusaha. Selebihnya terserahlah kepada Allah untuk menentukan hasilnya. ABJZ adalah usaha kerdil pihak RS untuk membendung kemelut sosial yang semakin membarah di dalam masyarakat. Kalau tidak semuapun yang berjaya disedarkan, sedikit yag insaf sudah cukup memberi motivasi kepada team ABJZ untuk terus menyusun langkah membaiki masyarakat. Peserta yang belum sedar tetap mendapat maklumat yang tepat mengenai bahaya menghampiri zina.



Ummi Rose sibuk melayani peserta-peserta dan menerima ucapan terima kasih yang tidak terhingga kerana pertama kali mereka didedahkan tentang perkara sebegini. Program ini bersifat informatif dan akan menjadi bekalan buat remaja meneruskan kehidupan meniti alam dewasa.


Slide 10

Gambar kiri ialah Puan Salwani Abdullah bersama Cik Airen. Mereka adalah peguam yang menjadi PIC bagi program motivasi, menguruskan penginapan dan pengangkutan kami di Rompin. Gambar di tengah pula ialah rakaman penceramah bersama Cikgu Fauzi (kiri) kaunselor SMK Muadzam Jaya, En Hafizun (Peguam) dan Pn Salwani (Peguam). Peserta-peserta juga tidak ketinggalan merakamkan gambar kenangan bersama Cikgu Ct.



Pada waktu petang, slot motivasi keibubapaan pula diadakan di Dewan Orang Ramai Kg Leban Chondong. Anggaran awal kehadiran peserta adalah sekitar 50 orang, memandangkan sambutan yang dingin di sebelah pagi apabila program Klinik Guaman dijalankan. Namun, menurut PIC kehadiran mencecah 200 orang untuk sesi petang. Alhamdulillah...semuanya adalah di dalam peraturan Allah.



Peserta-peserta yang hadir tekun mendengar perkongsian oleh team RS yang mendedahkan realiti masalah sosial oleh golongan remaja dan belia yang amat membimbangkan. Terdapat juga peserta yang membuat cacatan berupa fakta dan saranan-saranan bagi membendung permasalahan ini. Peserta yang hadir majoritinya adalah golongan dewasa. Malahan ada di antara mereka mencecah usia emas dan masalah yang dihadapi adalah cabaran mendidik cucu yang sedang meningkat remaja.



Fasa pendidikan anak-anak terbahagi kepada tiga seperti yang disarankan oleh Saidina Ali. Fasa pertama adalah semasa usia anak-anak 1 hingga 7 tahun. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak melalui bermain. Fasa kedua, semasa usia anak-anak diantara 7-14 tahun. Peringkat ini, anak-anak perlu dididik dengan cara disiplin. Penekanan tentang solat amatlah penting dan ibu bapa perlu mengajak anak-anaknya mendirikan solat, bukan menyuruhnya solat. Begitulah sunnah yang diajarkan Rasulullah.
Mereka boleh dipukul dengan pukulan yang tidak mencederakan bagi tujuan mendidik. Fasa ketiga ialah apabila usia anak-anak mencecah 14 tahun dan seterusnya. Anak-anak pada masa ini perlu menjadi kawan kepada ibu bapa. Sebagai seorang kawan, minatnya harus raikan. Pendapatnya perlu didengar dan rahsianya perlu dijaga. Namun, tidak bermakna perbuatan yang salah perlu dibiarkan. Teguran membina sangat diperlukan selain doa berterusan agar anak-anak menjadi insan yang bertaqwa di sisi Allah s.w.t.


Sifat tanggungjawab sebagai seorang khalifah di muka bumi, perlu diterapkan dalam diri anak-anak bermula di rumah. Kebergantungan semata-mata kepada pihak sekolah perlu dielakkan. Kejayaan seorang anak tidak boleh hanya dilihat kepada pencapaian akademiknya. Bagi anak yang potensinya dalam bidang kemahiran seperti masakan atau kimpalan, kejayaan perlu diukur kepada kualiti hasil kerja tangan mereka. Kecemerlangan juga boleh diperolehi apabila potensi diri anak-anak dapat dibangunkan mengikut minat dan kehendak masing-masing selagi ianya berada di landasan yang benar. Kecantikan akhlak dan ketinggian budi pekerti semestinya menjadi pelengkap kepada kecemerlangan yang diharapkan.


Ummi Ros meladeni soalan demi soalan berkisar cabaran pendidikan anak-anak. Ibu tunggal yang telah kematian suami juga tidak ketinggalan menyuarakan kesyukurannya hadir ke majlis pada petang itu dan banyak mendapat input daripada ceramah yang disampaikan. Perasaan terharu tidak dapat dibendung sehingga mengalirkan air mata tanda kesyukuran. Gambar di sebelah kanan ialah ibu Yus bersama seorang peserta yang berusia 78 tahun. Subhanallah, pertama kali program yang dikendalikan oleh RS dihadiri oleh peserta dari golongan warga emas yang mencecah usia 78tahun. Namun, makcik ini kelihatan sihat dan ceria serta teruja dengan ceramah yang disampaikan. Beliau yang mempunyai 7 orang cicit mengambil kesempatan bersalam-salaman dengan kami seusai majlis tamat.



Indahnya alam ciptaan Tuhan yang Maha Indah. Subhanallah.....ya Rabb.
Sekembali dari program keibubapaan, Cikgu Ct dan Cifu Rosmawati mengambil kesempatan menghirup udara senja di belakang Hotel sekitar jam 6.45petang. Agak mendebarkan mendegar deruan ombak Laut China Selatan yang menyapa gigi pantai. Lebih mendebarkan apabila dikhabarkan tentang Sunami kecil baru sahaja melanda dua tiga hari sebelum ketibaan kami. "Ya Allah, dimana-manapun tentu kami akan mati. Apapun, izinkan kami menyempurnakan misi ini terlebih dahulu. Amin...". Syukur, misi telahpun berjaya dilaksanakan dan tentunya baki kehidupan ini perlu diinfaqkan untuk terus berjihad di jalanMu ya Allah.


Majlis perasmian diadakan sekaligus dengan majlis makan malam. Kambing dan daging akiqah telah menjadi menu utama makan malam yang disediakan. Kesihatan Ibu Yus sedikit terganggu, mungkin disebabkan pengambilan makanan yang kurang sesuai setibanya kami di sana. Apapun, kami sedaya upaya memenuhi jadual program yang telah diaturkan oleh pihak penganjur. Duduk semeja dengan kami ialah imam Masjid Rompin, juara Tahfiz Daerah Rompin dan Suhaimi (penasyid, ex inteam). Kesempatan yang ada kami membina jaringan hubungan dangan mereka. Suhaimi menawarkan 'jv' program untuk memberi sumbangan kepada RS. Imam Masjid pula akan menguar-uarkan tentang RS dan berhasrat mengutip sumbangan dari ahli kariahnya untuk diberikan kepada RS. Sesungguhnya, Allah akan membantu hamba-hambaNya yang membantu agamaNya. Yakinlah......



Yang Berbahagia, Tan Sri Abdul Ghani Patail telah merasmikan Persidangan Tahunan dan Program Khidmat Masyarakat dalam majlis ini. Beliau juga menyampaikan sumbangan kepada warga emas, saudara baru khususnya dari kalangan orang asli dan penduduk miskin di sekitar Rompin. Pihak RS juga tidak ketinggalan menerima plak dan cenderahati di atas sumbangan yang diberikan.

No comments:

Anda Bijak Jauhi Zina

Anda Bijak Jauhi Zina
“Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (QS Al-Isra’, 17/32)