Sunday, December 7, 2008

Bila anak bertanya – Kenapa semua orang tak tolong dia?.

Adalah menjadi rutin harianku menidurkan anak-anak pada setiap malam apabila tiada mesyuarat ataupun perjumpaan usrah. Anak-anak seramai empat orang, satu persatu akan menceritakan tentang pengalaman harian masing-masing.


Minggu terakhir persekolahan biasanya kehadiran pelajar ke sekolah agak kurang memberangsangkan. Ditambah lagi pada hari terakhir persekolahan. Namun, aku melihat dua orang anak-anakku yang sulung ( sembilan tahun) dan kedua (tujuh tahun) begitu bersemangat ke sekolah.


Pada sebelah malamnya, tiba giliran anakku yang kedua berkongsi cerita pengalamannya pada siang hari, "Di sekolah kebangsaan tadi Mu’adz rasa bosan la ummi.” Anak keduaku memulakan cerita. "Mengapa ?” Soalku. Jauh di benak hatiku terasa kasihan dan tergambar kebosanan hidup seorang anak kecil apabila tiada aktiviti nak dilakukan di dalam kelas. Semenjak peperiksaan akhir tahun tamat, aku selalu memastikan anak-anak menbawa bahan bacaan tambahan ke sekolah. "Kawan-kawan kat kelas ramai yang tak hadir”. Jawabnya. "Hari ini kan penyampaian hadiah kat sekolah Muadz. Muadz tak pergi dewan ke tengok majlis tu?” Soalku lagi. "Muadz nak tengok, tapi pengawas tahan dan tak bagi masuk dewan. Dia suruh masuk ke dalam kelas”. Jawabnya dengan nada terkilan. "Lepastu Muadz pergi mana?” Tanyaku lagi. "Duduk kat kelas je la. Cikgu sorangpun tak masuk kelas. Semuanya sibuk kat dewan” Sambungnya lagi.


"Balik macamana?” Aku meneruskan soalan. "Van datang macam biasa. Anak India jiran kitapun naik sekali” Jawabnya. "Budak India yang mana satu ni? Rumahnya depan rumah kita ye?” Sambungku lagi. "Bukan. India yang beragama Kristiantu” Jelas anakku lagi. "Oh!... budak perempuantu namanya Sally”. Kataku. "Apa Kristiantu ummi?”. Anakku memulakan soalan baru.


"Agama Kristian asalnya daripada agama umat Nabi Isa, anak kepada Maryam. Pada mulanya agama Kristian ini disebut Nasara seperti yang diceritakan di dalam Al-Quran. Mereka juga menyembah Allah Yang Esa. Sama juga dengan kita, orang Islam. Lama kelamaan bila Nabi Isa dah tiada, agama ini telah disesatkan. Kalau Nabi Muhammad, Allah turunkan kitab Al-Quran macam yang kita baca setiap hari, Agama Kristianpun ada kitabnya sendiri. Namanya kitab Injil atau sekarang lebih dikenali sebagai Bible. ” Aku memulakan cerita tentang Kristian. Penuh khusyuk semua anak-anakku mendengar ceritaku.



"Tapikan.....anak-anak, bila sudah disesatkan, penganut Kristian menyembah Tiga Tuhan”. "Ah? Macamana pulak Tuhan jadi Tiga, ummi. Macamana boleh jadi sesat?” Hairan anakku mendengar ada Tiga Tuhan. "Islam percaya Tuhan di dunia ni Satu sahaja. Ia disebut sebagai Ahad, salah satu daripada nama-nama Allah . Qul hu wallahu Ahad. Katakanlah, dialah Tuhan yang Maha Esa. Esa tu maknanya Tunggal, Satu sahaja. Orang Kristian, mereka percaya ada Tuhan Bapa, Tuhan Ibu dan Anak Tuhan. Nabi Isa tu mereka kata anak Tuhan. Orang-orang Kristian fikir Tuhan tu macam manusia. Ada ibu bapa, ada anak. Pendita atau disebut juga paderi, para alim ulama Kristian dah tambah-tambah ajaran agama ikut suka mereka. Tu la sebabnya akhir zaman Allah utuskan Nabi Muhammad untuk membawa semula manusia kepada Tuhan yang sebenar. Semua kerja-kerja jahat paderi kristian yang menukar isi kandungan kitab Injil, Allah beritahu kita di dalam Al-Quran. Dalam Injil juga ada ceritakan pasal kelahiran Nabi Muhammad sebagai Nabi akhir zaman. Dalam kitab Nabi Musa pun Allah ceritakan. Hemmm... kelahiran Nabi Muhammad ni salah satu perkara yang dipadam, macam delete tulisan kat komputer tu” Tambahku dengan penuh eksprisi.


"Kesiannya orang-orang Kristian kan ummi. Dah jadi orang kafir pulak. Nanti kat akhirat masuk api neraka”. Anakku mula merasa sedikit cemas mengenangkan nasib akhir penganut-penganut Kristian. Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju. "Kenapa semua orang tak tolong ummi?”. Mu’adz menyambung persoalan. "Kat sinikan ramai orang Islam, kenapa semua orang tak tolong jiran kita tu?”. Terkedu aku mendengar soalan cepu emas dari generasi Z, penyambung dakwah ar rasul akhir zaman. Ya Allah, betapa dhaifnya diriku ini. Terbayang-bayang wajah Brother Muhammad, Akh Kamaruzaman dan K.Ros beserta suaminya yang terus gigih melakukan dakwah kepada non muslim. Allahuakhbar! Belum satupun syiar Islam pernah kusampaikan kepada keluarga jiranku itu. Tiada jawapan tepat dapat kuberikan kepada persoalan anakku ini. Aku hanya berkata, "Ya lah anak-anak, semua kita mesti bantu jiran kita. InsyaAllah, pada masa dan keadaan yang sesuai nanti, kita cerita pasal Islam kat mereka ye. Dah lewat malamni, semua orang baca doa tidur. InsyaAllah, Allah pasti sentiasa memelihara kita”. Begitulah aku menamatkan perkongsian malam itu. Jauh di sudut hatiku, aku bersyukur kerana perbualan kami menunjukkan fikrah Islam mula meresap masuk ke dalam diri anak-anakku. Allahuakbar!!!


Duta Vista
Kuala Lumpur
5 Disember 2008

Thursday, November 27, 2008

INSAN AGUNG YANG MENJADI PILIHAN


Nama Muhammad dipilih oleh Abdul Mutalib supaya cucu tercintanya sentiasa dipuji oleh makhluk langit dan bumi. Kedudukannya adalah sangat terpuji di sisi Allah s.w.t. Membesar sebagai seorang pemuda yang sangat jujur, baginda sangat dikenali sehingga digelar sebagai Al-Amin lantaran keperibadian mulianya.

Mencecah usia empat puluh tahun, baginda mula diamanahkan untuk menyeru umat mentauhidkan yang Esa. Dengan kehadiran baginda, umat manusia kembali kepada fitrah setelah melalui zaman kegelapan jahiliyyah. Malaikat Jibril yang sentiasa taat kepada Allah pula telah menurunkan wahyu daripada Al-Qudus untuk bekalan dalam perjuangan suci dakwah baginda. Maka dengan itu, baginda dianugerahkan al-Quran untuk disebarkan kepada manusia sebagai panduan hidup.

Khazinatul Asrar
10.00 pm ( 22/11/2008)
Remaja PPN 2008

Tuesday, November 25, 2008

Anakmu, Anakku Jua

Tergambar wajah-wajah ceria anak-anak pewaris perjuangan yang rata-ratanya tergolong dalam generasi Y. Siapa ye mereka sepuluh tahun lagi? YB Nurul Izzah berjaya mendapat kepercayaan rakyat dengan kemenangannya di Parlimen Lembah Pantai pada usia 28 tahun. Mungkinkan takungan soleh wal musleh dari kalangan generasi kedua JIM mampu menyaingi rekod YB Nurul Izzah?

Jawabnya, pasti BOLEH! Manakan tidak, pelbagai usaha tarbiyyah dan bimbingan telah direncana sebegitu teliti sekali hingga penglibatan golongan muda ini di dalam barisan kepimpinan JIM dijadikan usul di PPN. Usul yang dibawa mendapat reaksi yang amat positif sekali dan diterima untuk dilaksanakan bermula tahun 2009. Allahuakbar!!!

Sahabat-sahabat seangkatan, anakmu anakku jua.

Wednesday, May 14, 2008

Guru, memberi harapan baru buatku....

Masih ku ingat lagi, 12 Oktober 1985 apabila keputusan Penilaian Darjah Lima diumumkan oleh Kementerian Pelajaran, hatiku sedikit sedih ingin melangkah ke sekolah. Mana tidaknya,memang aku dah tahu keputusannya nanti pasti menjadi sindiran sinis oleh abah dan kakak-kakakku. His... tak seronoknya hidup. Kenapa mesti ada ujian dan peperiksaan?

Sah, aku hanya mendapat 1A, 3B dan 1C. Slip peperiksaan berada dalam tanganku, lama ku renung namun catatan B dab C tetap begitu tak berubah menjadi A. Lalu, aku melipat kemas dan ku simpan baik-baik di dalam begku yang begitu uzur sekali. Apalah jawapan terbaik nak ku berikan kepada abah nanti? Hemmm... terima sajalah.

"Kau nanti, kalau terus macamni lepas SRP aku kawinkan je. Buat apa belajar tapi bebal!!!" Tajamnya kata-kata itu sekaligus mengundang mendung yang tidak tertahan di wajahku. Titisan air mata mula membasahi pipi, satu demi satu dan semakin laju. Ahhh... kenapalah bodoh sangat aku ni.

" Kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, tahniah saya ucapkan. Teruskan usaha kamu. Kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan ataupun gagal, jangan cepet berputus asa. Keputusan peperiksaan kamu hari ini bukan penentu kegagalan kamu pada hari esok. Perjalanan hidup kamu masih panjang lagi. Kamu masih ada beberapa peperiksaan yang perlu kamu hadapi iaitu SRP, SPM dan STPM. Perbaiki kelemahan diri kamu. Saya yakin, kamu pasti akan menjadi lebih baik dan cemerlang sehingga melayakkan kamu masuk ke Universiti. Yang penting kamu mahu berubah dan berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya". Itulah kata-kata keramat dari insan yang bergelar seorang guru yang telah memberi harapan baru buatku. Berbekalkan kata-kata inilah, aku benar-benar tekat untuk belajar bersungguh-sungguh walaupun aku sering dikatakan seorang yang bebal dan bodoh.

Kini, lebih 23 tahun peristiwa itu berlalu. Aku sudah menjadi seorang guru. Cabaran mendidik pelajar-pelajar sering mengingat aku kepada jasa guru-guru yang pernah mendidik aku. Aku ingin menjadi seperti guru dahulu, memberi inspirasi dan harapan untuk anak-anak didiknya berjaya. Akulah salah satu hasil didikannya. Memang kata-kata guru mengubah persepsi hidup dalam diriku. Aku berjaya menjadi pelajar ke tiga p terbaik SRP di sekolahku dan mendapat tawaran ke MRSM selepas itu. Pada tahun 1991, selepas keputusan SPM diumumkan, aku diterima masuk mengikuti kursus Matrikulasi USM di Kolej MARA Kulim dan seterusnya membuat Ijazah Pertama Dalam Sains Dengan Pendidikan di USM. Semuanya adalah berkat jasa seorang guru.

Untukmu guru, aku akan terus mendoakan kebahagiaan buatmu bukan sahaja di dunia namun juga di akhirat sana. Semoga kita dapat bertemu suatu hari nanti atau setidak-tidaknya di syurga yang abadi.

Cikgu Siti

Thursday, April 24, 2008

Berpakaian Sopan dan Maruah Diri.

Setiap pagi apabila aku memandu kereta Kelisaku ke pintu pagar sekolah, perasaanku begitu terharu sekali. Mana tidaknya, melihat anak-anak remaja puteri begitu sopan mengenakan pakaian sekolah berserta tudung di kepala. Pelajar-pelajar non-muslim juga kelihatan sopan sekali memakai pakaian seragam sekolah yang berskirt di bawah lutut dan tidak kurang juga yang memilih baju kurung sebagai pakaian seragam mereka. Rahsia kecantikan dan kehalusan seni bentuk tubuh remaja puteri ini secara tidak langsung dapat dijaga dengan sempurna.


Keadaan ini begitu berbeza sekali apabila aku berjalan di kompleks membeli belah atau di tempat-tempat awam yang lainnya. Kemarin, aku membeli sedikit keperluan sekolah anak-anakku di salah sebuah gedung pakaian berdekatan tempat aku bertugas. Sewaktu aku ingin membuat bayaran....., pandangan mataku tertarik kepada seorang 'sales girl' yang sedang asyik menyusun pakaian di rak paling bawah. 'Sales girl' tersebut duduk dalam keadaan menyangkung sambil tangannya melipat pakaian dan berborak dengan rakan sekerjanya. Aku memberi isyarat kepada rakan sekerja 'sales girl' tersebut yang kebetulan memandangku tentang seluar di bahagian belakang 'sales girl' tersebut yang melorot hingga terdedah separuh punggungnya. Ishhh!!!...astaghfirullah..... Kebetulan tubuh 'sale girl' agak berisi dan kulit agak gelap , menambahkan ketidak enakan mata yang memandang. Aku sempat berpesan kepada juruwang agar kalau boleh, elok sangatlah semua 'staf' di gedung itu menjaga pakaiannya. Bukan apa, kalau tak kerana menjaga imanpun, sekurang-kurangnya menjaga maruah diri. Hemmm... Cashier yang begitu mesra melayanku, senyum dan menganggukkan kepalanya tanda setuju (aku harap begitulah).

Saturday, February 2, 2008

Terima kasih pengirim limau mandrin

Sifat memberi adalah menjadi satu amalan yang mulia malah dapat memupuk semangat mahu berkorban tanpa diminta dan bersyukur yang dizahirkan melalui ungkapan alhamdulillah serta ucapan terima kasih.

Dalam kesempatan ini cikgu ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelajar-pelajar yang mengirimkan limau mandrin bersempena sambutan Tahun Baru Cina. Agak sukar bagi cikgu untuk mengenal pasti pengirim kerana penggunaan nama pena tanpa memperkenalkan diri. Pun begitu, sedikit sebanyak pengalaman mendalami permasalahan remaja dan membantu menaikkan kembali semangat jati diri mereka membuatkan cikgu akur dan akan terus sabar menunggu sehingga empunya diri berkeyakinan untuk menampilkan nama sebenar dan kelas mana beliau berada. Semoga Tuhan memberi kekuatan untuk anda berani berbuat demikian. Amin.....Ya Rabbal 'Alamin.

Sesungguhnya manusia itu tidak dinilai dari tingginya akal fikiran, hebatnya pencapaian dalam peperiksaan, jawatan, pangkat atau keturunan. Tetapi ketahuilah, bahawa manusia itu dinilai berdasarkan kebersihan dan kejernihan hatinya yang menatijahkan amal yang baik (soleh) hatta dia adalah seorang ilmuan Sains, Perubatan mahupun Matematik.

Saturday, January 19, 2008

1 divide by 0 is infinity - Respond 1

Syabas kepada pelajar yang telah melawat blog cikgu. Tahniah juga kepada yang telah memberi pandangan. Ada persoalan yang amat menarik dan bagus kita share di sini. Antaranya, "wat the......it's better u go teach Islam la...Don confuse the students' AddMath's logic!! 1 divide by 0 is infinity is bcoz the smaller the denominator, the bigger the value is!.

Memang Betul Jawapan Anda!

the smaller the denominator, the bigger the value is!.
Yes! as long as the number is non zero number, there is definite value which is bigger and bigger... only when divide by zero it's become infinity. Until now, Mathematician don't discover the definite value. Why?????? Actually the knowledge of a man is limited. That's why we need to use another quotient other then intelligence (IQ) which is known as spiritual quotient(SQ)

wat the......it's better u go teach Islam la...Don confuse the students' AddMath's logic!!
Being religious and being spiritual are two different things. Cikgu memang mengajar Islam kepada pelatih-pelatih di Raudhatus Sakinah iaitu ilmu yang berkaitan fardu Ain, sirah dan akhlak. Seperti sukarelawan yang lain, cikgu juga menggabung jalinkan nilai spiritual untuk memberi keberkesanan kepada jiwa pelatih-pelatih ini. Tak mungkin ilmu agama sahaja cukup. Contoh paling mudah, di sekolah kita telah diajar tentang sembahyang, termasuk cara melakukannya mahupun kewajipan melaksanakannya. Tetapi... mengapa masih ramai orang Islam tidak bersembahyang? Ada muslimah yang menutup aurat tetapi akhlak masih seperti syaitan. Mengapa? Begitu juga kepada pelajar-pelajar non muslim, mereka telah belajar nilai-nilai murni dalam subjek moral tetapi mengapa masalah salah laku/ disiplin masih berlaku? Sebenarnya God Spot di hati mereka masih belum disentuh. God spot ini telah ditemui secara saintifik ( Boleh pinjam buku dari cikgu untuk mengetahui lebih lanjut) oleh doktor perubatan sendiri.

Apa kaitan pula Add Maths dengan spiritual? Add Maths kan logic? Well my dear student. Inilah yang dinamakan sekularisma. Ilmu akal dipisahkan dengan faham ketuhanan. Melalui pengalaman saya mengajar hampir sepuluh tahun ini, saya dapati mengajar sahaja tidak begitu bermakna dalam membentuk generasi akan datang. Tetapi, mendidik mereka walaupun lebih sukar adalah cara terbaik untuk membina modal insan ada jati diri, mempunyai kemampuan berfikir bukan sahaja secara logik tetapi rasional serta mengambil kira segala aspek berkaitan dengan kehidupan.

Teruskan belajar dan menimba ilmu dalam mengejar destinasi . I really like this kind of discussion. Dalam kelas, masa yang saya ada terlalu terhad . Memberi anda faham konsep yang agak mencabar dalam subjek add Maths bukanlah mudah. Biasanya students akan kata "kitaorang faham cikgu ajar dalam kelas, tapi bila buat latihan di rumah kitaorang loss la cikgu". Insyaallah, cikgu sentiasa mendokan semua pelajar-pelajar agar mudah faham, rajin dan cemerlang. Sebab tu kelas add Maths kita sentiasa dimulakan dengan doa. Kepada non muslim, berdoalah mengikut cara agama masing-masing. Mohon agar Tuhan mudah memberi kefahaman kepada kita. Moga Tuhan juga membersihkan hati-hati kita daripada segala sifat-sifat yang buruk agar dapat menghasilkan fikiran yang terang dan hati yang tenang. Sebarang kekeliruan, mail saja kepada saya jika keberatan berjumpa di sekolah. cikgu_sitiaini@yahoo.com

Note :
Try to apply current technology to enhance method of teaching.

Destinasi,
Cikgu Siti

Anda Bijak Jauhi Zina

Anda Bijak Jauhi Zina
“Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (QS Al-Isra’, 17/32)