Wednesday, May 14, 2008

Guru, memberi harapan baru buatku....

Masih ku ingat lagi, 12 Oktober 1985 apabila keputusan Penilaian Darjah Lima diumumkan oleh Kementerian Pelajaran, hatiku sedikit sedih ingin melangkah ke sekolah. Mana tidaknya,memang aku dah tahu keputusannya nanti pasti menjadi sindiran sinis oleh abah dan kakak-kakakku. His... tak seronoknya hidup. Kenapa mesti ada ujian dan peperiksaan?

Sah, aku hanya mendapat 1A, 3B dan 1C. Slip peperiksaan berada dalam tanganku, lama ku renung namun catatan B dab C tetap begitu tak berubah menjadi A. Lalu, aku melipat kemas dan ku simpan baik-baik di dalam begku yang begitu uzur sekali. Apalah jawapan terbaik nak ku berikan kepada abah nanti? Hemmm... terima sajalah.

"Kau nanti, kalau terus macamni lepas SRP aku kawinkan je. Buat apa belajar tapi bebal!!!" Tajamnya kata-kata itu sekaligus mengundang mendung yang tidak tertahan di wajahku. Titisan air mata mula membasahi pipi, satu demi satu dan semakin laju. Ahhh... kenapalah bodoh sangat aku ni.

" Kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, tahniah saya ucapkan. Teruskan usaha kamu. Kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan ataupun gagal, jangan cepet berputus asa. Keputusan peperiksaan kamu hari ini bukan penentu kegagalan kamu pada hari esok. Perjalanan hidup kamu masih panjang lagi. Kamu masih ada beberapa peperiksaan yang perlu kamu hadapi iaitu SRP, SPM dan STPM. Perbaiki kelemahan diri kamu. Saya yakin, kamu pasti akan menjadi lebih baik dan cemerlang sehingga melayakkan kamu masuk ke Universiti. Yang penting kamu mahu berubah dan berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya". Itulah kata-kata keramat dari insan yang bergelar seorang guru yang telah memberi harapan baru buatku. Berbekalkan kata-kata inilah, aku benar-benar tekat untuk belajar bersungguh-sungguh walaupun aku sering dikatakan seorang yang bebal dan bodoh.

Kini, lebih 23 tahun peristiwa itu berlalu. Aku sudah menjadi seorang guru. Cabaran mendidik pelajar-pelajar sering mengingat aku kepada jasa guru-guru yang pernah mendidik aku. Aku ingin menjadi seperti guru dahulu, memberi inspirasi dan harapan untuk anak-anak didiknya berjaya. Akulah salah satu hasil didikannya. Memang kata-kata guru mengubah persepsi hidup dalam diriku. Aku berjaya menjadi pelajar ke tiga p terbaik SRP di sekolahku dan mendapat tawaran ke MRSM selepas itu. Pada tahun 1991, selepas keputusan SPM diumumkan, aku diterima masuk mengikuti kursus Matrikulasi USM di Kolej MARA Kulim dan seterusnya membuat Ijazah Pertama Dalam Sains Dengan Pendidikan di USM. Semuanya adalah berkat jasa seorang guru.

Untukmu guru, aku akan terus mendoakan kebahagiaan buatmu bukan sahaja di dunia namun juga di akhirat sana. Semoga kita dapat bertemu suatu hari nanti atau setidak-tidaknya di syurga yang abadi.

Cikgu Siti

Anda Bijak Jauhi Zina

Anda Bijak Jauhi Zina
“Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (QS Al-Isra’, 17/32)