Alhamdulillah, ABJZ Zon Utara telah berjaya dilaksanakan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 11 Julai 2009 (Sabtu). Seramai 56 orang peserta telah hadir mengikuti siri latihan ABJZ kali ini. Kursus bertempat di Hotel Sri Malaysia, Kepala Batas. Peserta yang hadir termasuklah dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
TOT ABJZ adalah anjuran bersama RS Pusat dan RS Cawangan (Pulau Pinang). Cik Roha Hassan selaku Pengarah Program, menjadi mengemudi utama program ini. Pn Mardiana dan Pn Inayah dan Jawatan Kuasa Program dari pasukan RS Pulau Pinang berusaha seoptimum mungkin memastikan program berjalan lancar dan mencapai objektif yang telah digariskan.
Peserta-peserta kursus diberi penekanan tentang mesra dan sayangi remaja apabila menyantuni golongan ini khususnya yang bermasalah.
Kesediaan dari segi ilmu dan maklumat terkini amat dititik beratkan supaya pendekatan yang dilaksanakan lebih sesuai dan berkesan.
Ummi Roses menyampaikan bahan-bahan program yang perlu disampaikan kepada remaja dan belia diselang-selikan pengalaman mengendalikan dan membimbing remaja bermasalah, kembali ke pangkal jalan.
Penyampaian hendaklah dilahirkan dari hati yang ikhlas kerana Allah semata-mata supaya mudah sampai ke dalam sanubari hati anak-anak remaja.
Selain dari TOT ABJZ, kemahiran lain yang perlu dilengkapkan ialah kemahiran membimbing, kemahiran mendengar, kemahiran meneliti luahan perasaan serta mengenalpasti permasalahan sebenar, kemahiran menunjukkan jalan kebenaran dan sabar berusaha walaupun terdapat pelbagai rintangan yang menanti di sepanjang perjalanan.
Musyawarah dan kerja secara berpasukan merupakan kunci kejayaan. Musyawarah adalah sunnah yang diamalkan oleh Ar-Rasul s.a.w sewaktu menyampaikan risalah kebenaran dan melenyapkan kebatilan yang menyelubungi dunia jahiliyyah lebih seribu empat ratus tahun dahulu. Barakah Allah turun bersama-sama barisan yang tersusun kukuh ini. InsyaAllah. Hasil usaha kita serahkan kedanyaNya. Usaha ini adalah sebagai pelepas dari azab siksa api neraka sewaktu hari yang tidak ada sesiapapun penolong buat diri kita.
70 - 80% remaja memperolehi maklumat seks melalui rakan sebaya. Natijahnya, maklumat yang sampai kepada mereka tidak tepat malahan mungkin salah. Sebagai contoh, cara mengelakkan dari mengandung adalah mengadakan hubungan seks semasa haid. Maklumat ini diperolehi seawal usia dua belas tahun. Ada juga yang mengatakan, pancut di luar. Apabila ditanya bagaimana mahu memastikan teman lelaki benar-benar pancut di luar. Mudah sahaja jawapannya, "entah!!!!"
"Kitalah yang seharusnya mendidik dan membimbing anak-anak remaja tentang seks dan cinta. Barulah maklumat yang diberikan betul dan tepat". Ummi Rose dan Ibu Yus merupakan jurulatih utama RS yang terus istiqamah dalam usaha pencegahan dan memberi bimbingan kepada remaja. Hampir tidak menang tangan memenuhi jemputan dan undangan dari pelbagai pihak yang mahu ABJZ dilaksanakan di tempat mereka. Lebih ramai lagi jurulatih diperlukan dalam merialisasikan Gejala Sosial Sifar Menjelang 2020.
Sijil penyertaan hanya diberi kepada peserta yang mengikut kursus TOT ABJZ sepenuhnya. Mana-mana individu atau kumpulan yang ingin menganjurkan ABJZ di lokaliti masing-masing, disarankan membuat penganjuran program bersama RS. Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) telah dimulakan oleh RS di bawah Wanita JIM pada tahun 2007 dan kempen ini telah dilancarkan pada 14 Julai 2007 di Cheras, Kuala Lumpur.
Tidak lokek berkongsi ilmu dan pengetahuan, tidak malu bertanya kepada yang lebih mengetahui dan berpengalaman, itulah sebahagian resepi kejayaan. Peserta dibekalkan bahan-bahan berkaitan ABJZ. Boleh sahaja digunakan dan dibuat penambahbaikan. RS sentiasa sedia melayan pertanyaan dan mengadakan perbincangan demi memastikan keseragaman kualiti program ABJZ berterusan.
Salwati Yaakub dan anak-anak. Walaupun tidak berkesempatan mengikuti TOT ABJZ kali ini, sokongan moral tetap diberikan. Sahabat.... semoga terus sukses dan beroleh PHD seperti yang diharapkan. Jom! menebar peduli kepada anak-anak bangsa......
Cikgu Siti Aini melaporkan.
No comments:
Post a Comment