Wednesday, July 22, 2009

Mansuh PPSMI 2012

Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri Majlis Perhimpunan Warga Pendidik Kementerian Pelajaran Malaysia pada 21 Julai 2009 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Beberapa perkara ingin saya kongsikan daripada ucap utama Menteri Pelajaran Malaysia, Y.A.B Tan Sri Muhyidin Mohd Yassin.

Empat dasar baru yang diperkenalkan sejak beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Malaysia :
1) Penetapan had 10 matapelajaran untuk SPM.
2) Memperkasa Sukan Sekolah.
3) Cadangan Bahasa Inggeris (BI) sebagai syarat lulus SPM.
4) Memansuhkan PPSMI mulai 2012 digantikan dengan MBM MBI (Memertabat Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris).

Dasar 1 :
Penetapan had 10 matapelajaran untuk SPM.
Senario pada hari ini, pelajar mendaftar terlalu banyak mendaftar matapelajaran dalam SPM dan berlumba-lumba mengumpul sebanyak mungkin A. Ini tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk melakukan anjakan iaitu dari sistem peperiksaan kepada sistem penilaian yang lebih menyeluruh ( jasmani, emosi, rohani dan spiritual ). Secara tidak langsung mengabaikan perkembangan pelajar secara holistik. Aspek "soft skill" yang amat penting dikuasai oleh pelajar supaya mampu bersaing dalam pasaran kerja yang sangat kompetatif pada masa ini, hanya dapat direalisasikan melalui suatu sistem pentaksiran yang lebih menyeluruh . 10 matapelajaran adalah mencukupi bagi menilai kemampuan pelajar dari segi akademik. Secara tidak langsung, tekanan kepada pelajar dapat dikurangkan dan dapat memberi laluan kepada pihak sekolah untuk melebihkan aktiviti ko-kurikulum dan sukan.

Dasar 2 : Memperkasa Sukan Sekolah.
Jurulatih sukan akan ditempatkan di sekolah-sekolah bagi mengurus sukan di sekolah. Institusi Pendidikan Guru untuk melahirkan jurulatih sukan akan diadakan.

Dasar 3 :
Cadangan Bahasa Inggeris (BI) sebagai syarat wajib lulus SPM.
Rasional : Untuk memastikan anak-anak menguasai BI dengan baik supaya mudah mendapat peluang pekerjaan. Penguasaan BI yang baik juga adalah nilai tambah bagi diri pelajar-pelajar supaya mampu menceburkan diri dalam sektor yang berdaya saing tinggi dan mampu memenuhi pasaran global. Terdapat pihak yang melahirkan kebimbangan terhadap cadangan ini. Keputusan SPM 2008 yang lepas, hanya 26.9% pelajar luar bandar lulus BI. Sekiranya BI adalah syarat wajib lulus SPM, ini bermakna 73.1% pelajar luar bandar akan gagal di dalam SPM. Walaubagaimanapun, kementerian perlu terus berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan pelajar lemah bagi menguasai BI. 'Leveling up' perlu dilakukan kepada pelajar luar bandar supaya turut dapat bersaing dalam pasaran kerja yang kompatatif. Syarat ini masih dalam kajian dan cadangan.

Dasar 4 :
Memansuhkan PPSMI mulai 2012.
PPSMI akan mula dimansuhkan pada tahun 2012 dan pada masa yang sama mengambil tindakan yang drastik untuk memperkukuh BI. Dasar Memertabat Bahasa Melayu dan memperkukuh Bahasa Inggeris (MBM MBI) diperkenalkan sebagai ganti PPSMI.

Pengajaran Matematik dan Sains di dalam Bahasa Melayu adalah penting untuk pelajar memahami konsep Matematik dan Sains. Kajian saintifik yang dilakukan oleh beberapa pihak menunjukkan, pelajar lebih mudah memahami konsep Matematik dan Sains di dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda.

Data rasmi menunjukkan, pencapaian Matematik dan Sains terus merosot semasa PPSMI dilaksanakan. Keputusan UPSR 2008, 30.6% pelajar darjah enam gagal BI. Ini menunjukkan penguasaan BI yang masih lemah. Kesannya, guru-guru menghadapi masalah menggunakan BI di dalam P&P Matematik dan Sains. Hanya 6-8% sahaja guru menggunakan BI melebihi 90% sewaktu mengajar Matematik dan Sains dan peratus ini hanya tertumpu di sekolah bandar.


Ada pihak yang tidak bersetuju dengan pemansuhan PPSMI

dengan alasan anak-anak mereka tetap cemerlang walaupun PPSMI dilaksanakan. Sebenarnya hanya segelintir sahaja pelajar yang dapat menguasai Matematik dan Sains di dalam BI khususnya sekolah yang berada di dalam kawasan 'elit'. Pelajar yang sederhana pencapaian dalam BI juga sukar menguasai Matematik dan sains yang diajar di dalam BI, apatah lagi pelajar yang lemah BI. Hanya 8% sahaja pelajar yang mampu menguasai Matematik dan Sains di dalam BI dalam negara kita. Majoriti pelajar yang sederhana dan lemah akan terus ketinggalan. Situasi 'knowledge defisit' akan berlaku kerana pelajar tidak dapat menguasai ilmu Sains dan Matematik disebabkan masalah bahasa.

UNESCO memperakui bahasa ibunda adalah bahasa penghantar yang terbaik khususnya di peringkat rendah. UNESCO juga memperakukan matlamat pendidikan untuk semua menggunakan bahasa ibunda.

Insentif khas akan diberikan kepada guru-guru BI yang mengajar di luar bandar.


Catatan;
Cikgu Siti.

Saturday, July 11, 2009

TOT ABJZ PENANG

Alhamdulillah, ABJZ Zon Utara telah berjaya dilaksanakan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 11 Julai 2009 (Sabtu). Seramai 56 orang peserta telah hadir mengikuti siri latihan ABJZ kali ini. Kursus bertempat di Hotel Sri Malaysia, Kepala Batas. Peserta yang hadir termasuklah dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.



TOT ABJZ adalah anjuran bersama RS Pusat dan RS Cawangan (Pulau Pinang). Cik Roha Hassan selaku Pengarah Program, menjadi mengemudi utama program ini. Pn Mardiana dan Pn Inayah dan Jawatan Kuasa Program dari pasukan RS Pulau Pinang berusaha seoptimum mungkin memastikan program berjalan lancar dan mencapai objektif yang telah digariskan.








Peserta-peserta kursus diberi penekanan tentang mesra dan sayangi remaja apabila menyantuni golongan ini khususnya yang bermasalah.

Kesediaan dari segi ilmu dan maklumat terkini amat dititik beratkan supaya pendekatan yang dilaksanakan lebih sesuai dan berkesan.








Ummi Roses menyampaikan bahan-bahan program yang perlu disampaikan kepada remaja dan belia diselang-selikan pengalaman mengendalikan dan membimbing remaja bermasalah, kembali ke pangkal jalan.

Penyampaian hendaklah dilahirkan dari hati yang ikhlas kerana Allah semata-mata supaya mudah sampai ke dalam sanubari hati anak-anak remaja.









Selain dari TOT ABJZ, kemahiran lain yang perlu dilengkapkan ialah kemahiran membimbing, kemahiran mendengar, kemahiran meneliti luahan perasaan serta mengenalpasti permasalahan sebenar, kemahiran menunjukkan jalan kebenaran dan sabar berusaha walaupun terdapat pelbagai rintangan yang menanti di sepanjang perjalanan.







Musyawarah dan kerja secara berpasukan merupakan kunci kejayaan. Musyawarah adalah sunnah yang diamalkan oleh Ar-Rasul s.a.w sewaktu menyampaikan risalah kebenaran dan melenyapkan kebatilan yang menyelubungi dunia jahiliyyah lebih seribu empat ratus tahun dahulu. Barakah Allah turun bersama-sama barisan yang tersusun kukuh ini. InsyaAllah. Hasil usaha kita serahkan kedanyaNya. Usaha ini adalah sebagai pelepas dari azab siksa api neraka sewaktu hari yang tidak ada sesiapapun penolong buat diri kita.



70 - 80% remaja memperolehi maklumat seks melalui rakan sebaya. Natijahnya, maklumat yang sampai kepada mereka tidak tepat malahan mungkin salah. Sebagai contoh, cara mengelakkan dari mengandung adalah mengadakan hubungan seks semasa haid. Maklumat ini diperolehi seawal usia dua belas tahun. Ada juga yang mengatakan, pancut di luar. Apabila ditanya bagaimana mahu memastikan teman lelaki benar-benar pancut di luar. Mudah sahaja jawapannya, "entah!!!!"





"Kitalah yang seharusnya mendidik dan membimbing anak-anak remaja tentang seks dan cinta. Barulah maklumat yang diberikan betul dan tepat". Ummi Rose dan Ibu Yus merupakan jurulatih utama RS yang terus istiqamah dalam usaha pencegahan dan memberi bimbingan kepada remaja. Hampir tidak menang tangan memenuhi jemputan dan undangan dari pelbagai pihak yang mahu ABJZ dilaksanakan di tempat mereka. Lebih ramai lagi jurulatih diperlukan dalam merialisasikan Gejala Sosial Sifar Menjelang 2020.




Sijil penyertaan hanya diberi kepada peserta yang mengikut kursus TOT ABJZ sepenuhnya. Mana-mana individu atau kumpulan yang ingin menganjurkan ABJZ di lokaliti masing-masing, disarankan membuat penganjuran program bersama RS. Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) telah dimulakan oleh RS di bawah Wanita JIM pada tahun 2007 dan kempen ini telah dilancarkan pada 14 Julai 2007 di Cheras, Kuala Lumpur.








Tidak lokek berkongsi ilmu dan pengetahuan, tidak malu bertanya kepada yang lebih mengetahui dan berpengalaman, itulah sebahagian resepi kejayaan. Peserta dibekalkan bahan-bahan berkaitan ABJZ. Boleh sahaja digunakan dan dibuat penambahbaikan. RS sentiasa sedia melayan pertanyaan dan mengadakan perbincangan demi memastikan keseragaman kualiti program ABJZ berterusan.








Salwati Yaakub dan anak-anak. Walaupun tidak berkesempatan mengikuti TOT ABJZ kali ini, sokongan moral tetap diberikan. Sahabat.... semoga terus sukses dan beroleh PHD seperti yang diharapkan. Jom! menebar peduli kepada anak-anak bangsa......






Cikgu Siti Aini melaporkan.

Anda Bijak Jauhi Zina

Anda Bijak Jauhi Zina
“Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (QS Al-Isra’, 17/32)