Tuesday, January 26, 2010

Lawatan Kerja RS Berhad Bil. 1/2010 - Johor


Alhamdulillah, pada Ahad 24 Januari 2010 di Ibu Pejabat JIM Negeri Johor, perbincangan dua hala di antara Raudhatus Sakinah Berhad (RSB) dan Sekretariat Jom Jadi Bijak (JJB) telah berlangsung dalam keadaan harmoni dan penuh keterbukaan.

RSB telah diwakili oleh PM Dr Harlina Halizah Hj Siraj yang juga merangkap Naib Presiden JIM Pusat, Pn Rosmawati Zainal, Pn Siti Aini Jamil dan En Azhar Maludin. Tuan rumah iaitu JJB telah diwakili oleh En Mohd Aminudin, En Abdul Halim, En Saharudin Mat Said, Cik Amirah Diana Azlan, Cik Rafidah Mahat dan Pn Sumilah Marto. Hadir bersama Dr Khairul Suzana Khairudin selaku Ketua Wanita JIM Negeri Johor.

Perbincangan telah dimulakan dengan penerangan latar belakang RSB, Raudhatus Sakinah Master Training & Consultancy (RSM) dan JJB. Seterusnya, isu yang berkaitan modul ABJZ di bawah JJB dan RSM dibincangkan secara terbuka untuk diselaraskan. Hasil perbincangan mendapati , berlaku masalah komunikasi disebabkan kelemahan sistem penyampaian maklumat yang tidak tepat.

Keputusan Perbincangan :

1. RSB sedia membantu JJB khususnya dalam pelaksanaan program pencegahan di Negeri Johor. RSM akan melihat dengan lebih terperinci aspek teknikal bagi membantu perlaksanaan program ABJZ untuk menangani masalah sosial di Johor.

2. Modul baru JJB telah dihasilkan dengan menggarap Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif Remaja sebagai sebahagian isi kandungannya. Modul ini telah mendapat pengesahan dan sokongan daripada RSB serta boleh diteruskan di negeri Johor.

3. JJB berminat mengikuti latihan oleh RSM dan memohon agar siri latihan diadakan di negeri Johor bagi tujuan mengurangkan kos latihan. JJB juga bersetuju menanggung kos latihan.

4. Jurulatih RSM yang ingin mengadakan program ABJZ di Johor, perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak JJB.

5. Sebarang rundingan dan makluman mengenai sebarang urusan di antara RSB dengan JJB akan dilakukan sendiri oleh mereka.

Selesai solat Zohor, deligasi RSB mengambil kesempatan mengunjungi premis RSJ. Setiap kali berkunjung ke cawangan RS, suasana persekitaran sentiasa berubah dan ada pembaharuan. Tidak ketinggalan RSJ yang merupakan cawangan bongsu RS. Terdapat kemudahan gelanggang badminton untuk pelatih-pelatih bermain. Ruang khas tetamu pula tersangat damai dan selesa. Rak-rak buku dipenuhi khazanah Sejarah peninggalan arwah Cikgu Shahrom. Inilah hasil kerjasama ahli-ahli JIM Johor yang tidak pernah melebelkan RS adalah untuk wanita dan perlu diuruskan oleh wanita sendirian. "RSJ sejak awal penubuhannya pada penghujung 2008 tersangat dekat di hati YDP JIM johor. Kami tidak merasakan RS hanya terpikul di bahu Wanita JIM Negeri sebaliknya, komitmen yang ditunjukkan oleh YDP JIM Negeri, seolah-olah RS terletak langsung di bawahnya". Begitulah komen Dr Kairul Suzana mengenai kesungguhan JIM Negeri membangunkan RS dan program-program capaian kepada remaja dan masyarakat dalam misi Anda Bijak Jauhi Zina. " Rating pencapaian KPI unit-unit di bawah JIM Negeri bertambah meningkat dengan perlaksanaan ABJZ di bawah sekretariat ABJZ J (JJB)" Komen En Aminudin semasa perbincangan pada waktu pagi. Pihak RSB mengucapkan jazakumullahukhairan khathira kepada YDP JIM Johor, saudara Ainul Lotfi di atas keprihatinan beliau menangani isu ummah.

PM Dr Har dan Ummi Rosses yang sentisa mudah melemparkan senyuman, kemudiannya berpeluang memberi kata-kata nasihat dan perangsang kepada pelatih-pelatih RS yang majoritinya berusia dalam lingkungan 13 - 17 tahun. Kemahiran membuat keputusan amatlah penting untuk membuat pertimbangan yang betul dan tepat agar menghasilkan natijah yang baik. Kehadiran pelatih-pelatih ke RS sebenarnya adalah pilihan Allah s.w.t serta diberi peluang olehNya untuk dibimbing kembali ke pangkal jalan. Masih ramai rakan sebaya mereka yang terus terumbang ambing di luar sana. Mereka tidak berpelung menerima bimbingan untuk kembali ke fitrah asal kejadian mereka.


Deligasi RSB sempat merakamkan gambar kenangan bersama tenaga penggerak RSJ. Terima kasih buat Jawatankuasa RSJ yang diketuai oleh Pn Sumilah Marto kerana sudi menerima kunjungan kami. Keenakan Laksa Johor hasil tangan Jawatankuasa RSJ yang turun 'rewang' memasak pasti tidak akan dilupakan.

Sekian, wassalam.









Anda Bijak Jauhi Zina

Anda Bijak Jauhi Zina
“Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (QS Al-Isra’, 17/32)