Tuesday, November 17, 2009

ABJZ sebagai "Pelepas Tanggungjawab"


“Mengapa Cikgu Ct. bersungguh-sungguh, beriya-iya melaksanakan ABJZ ( Anda Bijak Jauhi Zina) di sana sini ? Bagaimana pula Cikgu Ct. menyeimbangkan antara tugasan sebagai seorang isteri dan ibu di rumah, pada masa yang sama sibuk dengan program-program ABJZ ?”. Tak sampai lima minit aku melabuhkan punggung di dalam majlis ilmu di Manarul, tiba-tiba soalan demi soalan diajukan kepadaku. Hemmm… patutlah pun. Aku sepatutnya sampai di situ jam 2.30petang tetapi dengan izin Allah, aku sampai sekitar jam 4.25 petang. Lebih sejam berpusing-pusing sekitar USJ dan Kelana Jaya, mencari lokasi sebenar majlis ilmu diadakan. Walaupun ini bukan kali pertama aku pergi ke lokasi tersebut tetapi aku masih tidak berapa pasti jalan ke sana kerana selalunya aku pergi bersama suamiku.


Tanpa mengetahui tajuk ceramah yang disampaikan, aku terus menjawab. “Jawapan untuk soalan yang pertama : Sebenarnya penglibatan saya dalam ABJZ adalah sebagai pelepas tanggungjawab dari siksaan api neraka semasa bertemu dengan Allah nanti. Jawapan untuk soalan yang kedua pula : “Bantuan dan kerjasama dari suami banyak membantu saya menyeimbangkan antara tugasan rumah tangga dan tugasan dakwah”.

Di dalam surah Al-A’raf ayat 164 Allah berfirman ;

وَإِذَ قَالَتْ أُمَّةٌ مِّنْهُمْ لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا اللّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا قَالُواْ مَعْذِرَةً إِلَى رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
"Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: ""Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab apabila disoal di akhirat kelak) kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa”.

Di dalam Tafsir Ibnu Kathir, ayat ke 164 dalam surah Al-A’raf ini sebenarnya adalah kesinambungan dari ayat-ayat sebelumnya yang menceritakan kisah Bani Israel yang telah diperintahkan oleh Allah untuk beribadat pada hari Sabtu dan mereka dilarang menangkap ikan pada hari tersebut. Ketetapan ini telah disampaikan oleh Nabi dan ia adalah ujian kepada hamba-hambaNya.

Ditakdirkan Allah, pada setiap hari Sabtu terdapat ikan yang sangat banyak sehingga kelihatan melompat-lompat di tepian pantai sedangkan pada hari yang lain, nelayan dari kaum Bani Israel terpaksa menagkap ikan jauh ke tengah laut untuk menangkap ikan.

Dipendekkan cerita, kaum Bani Israel terbahagi kepada tiga golongan. Golongan yang pertama ialah mereka yang akur sahaja perintah Allah, beribadat pada hari Sabtu dan tidak turun menangkap ikan pada hari tersebut. Golongan yang kedua ialah orang-orang Yahudi yang membuat helah dengan membuat penghadang supaya ikan yang datang ketepian pantai pada hari Sabtu, terperangkap dan tidak dapat kembali ke laut. Pada keesokan harinya barulah mereka mengutip hasil tangkapan. Golongan inilah yang melanggar perintah dan larangan Allah dengan tipu helah mereka. Golongan yang tiga pula ialah mereka yang menuruti perintah Allah dan pada masa yang sama memberi peringatan kepada golongan yang kedua akan perlanggaran yang telah mereka lakukan. Mereka juga diperingatkan akan kecelakaan yang menanti atas kesalahan mereka.

"Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: ""Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Pertanyaan ini diajukan oleh golongan pertama kepada golongan ketiga yang melaksanakan usaha-usaha nahi mungkar. Jawab kumpulan yang ketiga, "(Nasihat itu ialah) agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab apabila disoal di akhirat kelak) kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa”. Begitulah jawapan ikhlas golongan ketiga walaupun sudah jelas, golongan kedua adalah golongan yang ingkar akan perintah Allah dan sengaja melakukan perlanggaran tersebut. Tiada istilah putus asa dalam diri mereka malahan mereka terus berusaha agar ada di kalangan golongan yang ingkar ini, sedar dan bertaubat serta kembali bertaqwa kepada Allah.

Sebenarnya ayat ini telah dibawa ke dalam modul ABJZ oleh master trainer, Ummi Rose. Setiap kali Ummi Rose menyebut ayat ini, setiap kali itulah menggeletar hati ini teringatkan kekuasaan dan kerasnya siksaan Allah. ”Ya Allah, sungguh tinggi kebesaranMu. Sungguh tak sanggup aku melihat kerosakan, kemusnahan harta dan jiwa akibat bencana yang kerap minimpa bertali arus di akhir zaman ini. Sungguh, ia menggambarkan kerasnya azabMu. Ya Aziz, apalah dayaku ...... labih keras lagi siksaMu di neraka jahim. Aku, hambaMu yang kerdil memohon Rahmat dan KasihMu. Ya Ghafur...maafkanlah kesalahan dan dosa mereka. Sesungguhnya mereka jahil akan perintahMu. Berikan aku kekuatan untuk terus istiqamah di jalanMu ini, anugerahkan aku hikmah kebijaksanaan agar kehadiranku mampu menyentuh jiwa-jiwa gersang yang dahagakan kebenaran. Pilihlah dan masukkanlah kami dari kalangan hamba-hambaMu yang bersyukur. Amin ya Rabbal ’Alamin”.


Teringat pula akan lirik melodi yang sungguh menyentuh kalbu khas buat anak-anak yang sering terlupa;

Apa yang dikejar dalam hidupmu,
Berkali ku kata padamu,
Kita singgah di dunia yang sementara,
Penuh tipu daya.....
Yang kekal,
Di sana,
Biarlah kita berSAMA,
Usahlah hanyut,
Terus terlena....kerana dunia..

2 comments:

Shamsul JIM said...

Salam,
Good! Cuma foto 'api neraka' tu biarlah foto-foto yg ada di dunia bukan imaginasi. Wallahu `alam.
Wassalam.
shamsuljim

saj said...

tq abang sham. Dah tukar gambarnye dah.

Anda Bijak Jauhi Zina

Anda Bijak Jauhi Zina
“Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (QS Al-Isra’, 17/32)