Friday, December 28, 2007

Afra' bt Ubaid

Gersangnya tanah,
tumbuhnya benih iman,
Afra' bt Ubaid,
serikandi sepanjang zaman.

Tujuh mujahid Islam dihasilkan,
tanpa gentar, jauh rasa takut,
musuh dibunuh di gazwah akbar,
kalimah Islam ditegakkan.

Aus, Mu'awwiz .... kau gugur syahid
dalam hiba.....Afra' gembira,
Abu Jhal petualang ummah dilenyapkan,
Mujahid, syahid....... bahagia di sana

Tujuh wira tangkas di medan Badar
Muaz, Mu'awwiz, "Aus, Khalid, Iyyas dan Amir,
Kau yang melahirkan mereka,
Kau yang mendidik mereka,
Kau yang membangkitkan semangat jihad di hati mereka,
Jayanya usahamu....
Kuatnya imanmu.....
Semuanya kau korbankan demi ad-din tercinta

cemburunya aku melihat bahagiamu
akan aku titipkan kisahmu
akan aku persiapkan putera puteriku
akan aku gahkan Islam di jiwa mereka
mereka, mereka semua..... ku infa'kan untuk jalan mulia ini...

Nukilan,
Ummu Mu'adz

Wednesday, December 26, 2007

Success is a journey not a destiny !

55 orang dapat "straight A's". Fuh! Alhamdulillah.. Allahu akhbar!

Begitulah keputusan PMR 2007, SMKBRP. Pencapaian lulus meningkat 2% iaitu daripada
77% kepada 79%. Semua tenaga pelajar menarik nafas lega penuh kesyukuran. 4 orang mendapat 9A iaitu pelajar-pelajar dari Kelas Aliran Agama, 44 orang mendapat 8A dan 7 orang mendapat 7A. Tahniah kepada semua yang bertungkus lumus merialisasikan unjuran PMR 2007. Pastinya semua warga SMKBRP merasa gembira dengan kejayaan ini.

Jauh di sudut hati ini terfikir juga, ke mana ye pelajar-pelajar ni selepas ini? Tingkatan 4 nanti pilih elektif apa? Akan masuk ke sekolah berasrama penuh ke? ataupun mungkin sekolah Teknik? Alah...... biasa la tu. Semuanya fenomena biasa selepas PMR diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Sesuatu yang luar biasa terus menghantui fikiran ini. Berjayakah mereka semua menjadi modal insan yang mampu menyambung dan menerajui perjuangan memajukan agama, bangsa dan negara pada masa hadapan ? Lebih jauh dari itu, mampukah anak-anak didik ini memakmurkan bumi tempat tinggal semua semua yang bergelar manusia ? Dapatkah mereka melihat di luar sana, kerakusan manusia meyembelih manusia yang lain semata mata kerana rakuskan kuasa ? Manusia lemah terus-terusan ditindas dan hak mereka dinafikan ? Ayuhlah anak-anak bangsaku, bukalah mata hatimu dan lihatlah dunia ini dengan fikiran terbuka.


Sebenarnya amat betul kata pujangga "success is a journey, not a destiny". Kejayaan hanyalah suatu perjalanan dan bukan suatu destinasi. Dua tahun selepas PMR, SPM pula menanti. Tamat SPM, masuk kolej atau universiti. Selepas tu nak fikir tentang kerja yang sesuai pulak. Kemudian, tentulah inginkan sebuah keluarga yang bahagia. Lepastu apa lagi ye ? Kerjaya yang lebih mantap ? Poket yang lebih kencang ? Bilangan anak-anak yang berderetan ? Bilangan isteri yang bertambah, ya kata orang nak ikut sunnah nabi, cukupkan kota empat orang ? Ya, itulah sebenarnya dunia.


Modal insan perlu anjakan paradigma untuk melihat bahawa kejayaan bukanlah terletak pada keputusan peperiksaan semata-mata. Mereka hendaklah mampu melihat, memahami ke manakah destinasi sebenar kehidupan ini. Sejak dari awal kejadian diri bermula dari persenyawaan sperma dan ovum, kemudian membentuk segumpal darah yang melekat di dinding rahim ibu, seterusnya membesar sehingga kandungan mencecah 36 minggu hingga 40 minggu, dengan penuh perjuangan tanpa mengira titisan peluh dan air mata hatta limpahan darah yang membasahi bumi, lahirnya diri kita sebagai seorang insan. Apalah agaknya tujuan kita hidup di dunia ini? Cukupkah sekadar untuk menjawat jawatan yang tinggi bila dewasa kelak? Atau, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang?

Bagaimana pula nasib rakan-rakan yang tidak mendapat straight A's ataupun langsung tidak mendapat A? Tidak cemerlangkah mereka ? Jawapannya tentu sekali "anda juga insan yang cemerlang". Manakan tidak, usaha telah dilakukan seoptimum mungkin. Segala teknik belajar telah diaplikasi sebaiknya cuma.... keadaan belum memihak kepada kita kerana mungkin kita begitu sukar memahami pelajaran seperti mana yang sepatutnya kita fahami. Atau mungkin kita sendiri memang tidak cenderung kepada akademik. Semuanya membebankan dan begitu membosankan. Adakah anda salah seorang yang merasakan seperti ini? Anda adalah seorang yang normal jika merasa begitu!

Keluarlah dari kotak pemikiran biasa masyarakat bahawa yang cemerlang akademik itulah yang terbaik. Yang terbaik di dunia ini sebenarlah ialah mereka yang jelas ke mana arah destinasi sebuah kehidupan dan melihat bahawa dunia ini hanyalah tempat mengumpul sebanyaknya bekal buat kehidupan yang abadi di akhirat nanti. Setiap manusia dianugerahkan keistimewaan atau bakat yang tersendiri . Apapun keupayaan dan kelebihan diri, jadikanlah ianya sebagai alat untuk lebih mendekatkan diri dengan yang Maha Pencipta. Menciptakan diri manusia dengan begitu halus dan seni sekali. Robot ciptaan manusia yang paling canggihpun tidak mampu menandingi keindahan dan keagungan kejadian manusia.

Nah! apa tunggu-tunggu lagi? Sesungguhnya kejayaan ini diukur dari segi usaha yang dilakukan. Lagi banyak usaha lagi banyak pahala. Wahai anak bangsaku, ayuhlah bangkit dan teruskan usahamu. Kukuhkanlah jati dirimu dan kuatkan semangat juangmu. Kejayaan atau kegagalan hari ini bukanlah penentu kejayaan atau kegagalan pada hari esok. Kejayaan pada hari ini adalah pemangkin untuk kejayaan pada masa-masa akan datang. Kegagalan mu pada hari ini pula adalah sebagai noktah perubahan untuk kau terus maju dan pastinya tidak akan mengulangi kesilapan pada masa lalu. Semua kita BOLEH! Yes! go! go! go! Allahu akhbar!

Pendidik Mithali
(He he he... ye la tu)

Wednesday, December 12, 2007

Why 1 divide by 0 is infinity

Dalam topik pertama Additional Mathematics Form 4, pelajar-pelajar akan belajar Topic Function. Terdapat satu bahagian yang saya sendiri sebagai guru belum mendapat jawapan iaitu mengapa 1(atau apa sahaja nombor) bila dibahagi 0 hasilnya adalah infinity.

Kesan kepada konsep ini adalah sangat penting khususnya bagi memastikan sesuatu fungsi dapat ditakrifkan. Atau dengan kata lain "to make sure a function is define, a denominator must be not zero"

Contoh :
x
f(x) = ___ , x =/= 2
x-2
Value of x cannot be 2 to ensure the function is defined.

Menghadiri kursus ESQ (emotional spiritual quotient) membuatkan saya faham dan telah mendapat jawapannya. Alhamdulillah.

Dalam semua agama samada Islam, Kristian, Hindu, Budha dan sebagainya kita semua percaya bahawa akhirnya Tuhan itu Satu. Di dalam Islam sendiri hal ini memangnya amat jelas malahan terdapat dalam kalimah syahadah yang kita ulang-ulangi membacanya sebanyak 9 kali sehari di dalam solat. Pada masa yang sama, manusia sebenarnya yag amat kerdil di sisi Tuhan yang Maha Hebat mampu Mentadbir Alam ini dengan begitu teratur sekali. Didatangkan matahari waktu siang hari, bagi memudahkan manusia menjalankan aktiviti harian dengan lancar. Bulan pada malam hari dengan sinar yang amat lembut sekali, begitu nyaman dan tidak menyilaukan apabila dipandang mata. Semua ini pasti tidak boleh berlaku tanpa sengaja atau tidak cukup sekadar "it's only a nature". Pasti ada yang mengaturnya dan Dialah Allah yang Maha Esa. Terdapat banyak bukti-bukti kehebatan Allah sebagai pencipta dicatatkan dengan penuh bersejarah di dalam Al-Quran al Karim.

Manusia pula, umumnya manusia itu dilihat mulia apabila mempunyai pangkat, kedudukan, harta kekayaan malahan hidup dalam serba kemewahan atau meterialistik. Tapi sebenarnya yang membahagiakan manusia bukan semua yang berbentuk kemewahan tetapi ia terletak pada "hati yag tenang". Untuk mendapatkan hati yang tenang, sudah pasti materialistik keduniaan perlu dikosongkan di dalam jiwa manusia. Harta benda hanyalah alat untuk mencapai kebahagiaan bukannya tujuan mencapai kebahagiaan. Dalam hal ini, "zero mind process" amat perlu. Manusia perlu mengosongkan jiwanya daripada nafsu keduniaan.

Andaikan bahawa pengangka ( neumirator ) adalah Tuhan iaitu 1 dan penyebut ( denominator) adalah manusia iaitu 0 yang mana jiwanya telah dikosongkan dari nafsu kebendaan, hasilnya ... subhanallah, Rahmah dan Kasih Tuhan yang tidak terhingga nilainya, malahan tidak terhitung banyaknya. Bayangkanlah, jika kita berbuat salah seperti meniru dalam peperiksaan, atau meminta izin keluar ke tandas tapi sebenarnya saja-saja nak berjumpa kawan di luar kelas ataupun mungkin ponteng kelas lalu Allah tiba-tiba putuskan bekalan oksigen dalam udara yang kita hirup, tentu ramai yang dah mati sesak nafas. Allah yag Maha Pengasih tidak pula begitu sifatnya. Manusia iaitu hambanya walaupun telah banyak berbuat salah, Allah tetap masih memberi nikmat kehidupan sebaiknya. Subhanallah, alhamdulillah, astaqfirullah. Inilah yang diwakilkan oleh infiniti iaitu nikmat Tuhan yang tidak terhingga.

Sebagai kesimpulan, Allah yang Satu, Manusia mengosongkan jiwanya dari nafsu duniawi (zero) dan hasilnya Keberkatan hidup yang tidak terhingga. Subhanallah, alhamdulillah, astaqfirullah.

Al-Faqir Ilallah
Cikgu Siti




Thursday, December 6, 2007

Pengurusan Kewangan untuk Islah dan Dakwah

Selesai halaqah malam tadi, sempat berbincang dengan rakanku tentang pengurusan kewangan.
Sebenarnya dua hari lepas, aku baru sahaja melabur dalam unit trust. Puas hati dengan penerangan agent dari sebuah institusi bank akhirnya akupun buatlah pelaburan. InsyaAllah, empat tahun lagi tabunganku akan cukup untuk aku menunaikan rukun Islam ke lima. Mana boleh tahan asyik dok tengok kekawan pergi ke Mekah. Akupun nak juga. Ya Allah, mudahkanlah segala urusanku. Terimalah amalku ya Allah..Amin.

Aku telah mengikuti kusus pengurusan kewangan sebanyak tiga kali . Kali ini aku betul-betul buat action. Lagipun aku baru je surrender dari salah satu insuran yang ku ambil. So tukar pelaburan je. Hidup makan gaji, cikgu je tu pulak mana sangatlah boleh buat harta. Setakat rumah dan kereta boleh la, tupun share dengan suami. Tapi jangan salah faham, walaupun ciput je income aku ni aku syukur sangat dengan apa yang ada. Tak pernah la pulak terpaksa makan maggi kerana tak cukup duit. Dapat bantu adik-adik belajar. Hulur sikit-sikit masa diaorang kawin, bagi kat mak& abah tiap2 bulan kira okey la tu kan.

Cumanya .... aku sebenarnya nak sahut cabaran Allah seperti dalam surah As-Saff: 10-11. "Wahai orang-orang yang beriman! mahukah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul, dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui." Ya! suatu perniagaan untuk menjauhkan dari azab yang pedih. Apa pulak kaitan dengan investment dalam unit trust tu pulak?

Nak invest kat tempat lainpun boleh asalkan sahih halal. Ada gak orang tak setuju bila sebut sahih halalni. "You cikgu, kakitangan kerajaan ingat kerajaan tak invest ke tempat-tempat suhbah ke?" Sinisje bunyinye. Dapat pulak ustaz yang ada master syariah yang cakap. Adus! Apa-apapun kita buatlah yang terbaik. Bila kita ada kuasa memilih, gunalah kuasa yang ada sebaiknya. Bukan apa, setiap satu yang kita buat Allah tanya kat mahsyar nanti. Sedia je la jawapan yang Allah boleh terima kat sana nanti. Kerajaan tak dapek bantu kito kat sana tu jang!.

Terlibat dengan NGO yang tugasnya membuat islah kepada masyarakat, membuatkan aku mahu tidak mahu terlibat sama berjihad untuk melaksanakan semua perancangan yang diatur bersama. Dalam masa yang sama, duit untuk petrol, sumbangan kewangan, masa dan tenaga perlu ada lebih berbeza kehidupan biasa seorang cikgu. Anak-anakpun semakin membesar. Keperluan semakin bertambah. Cikgu macam akuni perlu pendapatan tambahan. Nak buat direct selling, direct marketing, tuisyen atau apa sahaja perniagaan semuanya memerlukan masa. Mana pula masa nak buat islah ? Sebabtulah, aku perlu sangat sokongan kewangan yang mantap. Aku nak wang bekerja untuk aku. He he he.... aku nak jadi bos kat duit-duittu. Boleh bayangkan tak?

Plan aku selain daripada menunaikan haji, aku nak taja sendiri pendidikan anak-anak sampai tamat pengajian di IPT. Tak yah pinjam PTPTN. Maknanya, simpanan aku mesti cukup. Suamipun bersetuju untuk kami maintain je apa yang kami ada sekarang. 15 tahun lagi aku nak buka perniagaan aku sendiri sebab aku nak sedia peluang pekerjaan untuk anak-anak selain daripada memastikan sumber rezeki yang sahih halal. Anak-anak orang lain pun boleh apply job kat syarikat aku tu nanti. Yang penting, mesti rajin berkerja dan sabar. Sebelum tu, balik je dari menunaikan fardu haji kalau diizin tuhankan..... aku nak sorang lagi permata hati :-)... Rasa macam dah lama tak ada baby.

Begitulah besarnya goal yang aku nak capai. Teringat kata-kata orang bijak pandai " We must have a big dream, then we will achieve a big dream". InsyaAllah, Allah ikut prasangka hambanya. Setakat duniani, apa sangatlah ..... umpama sebelah kepak nyamukje di sisi Allah. Semoga dengan kekuatan sokongan kewangan disamping sokongan suami, usaha-usaha murniku untuk terus membuat islah dan dakwah akan berpanjangan hingga ke nafasku yang terakhir. InsyaAllah. Amin ya Rabbal 'alamin..........

Saturday, December 1, 2007

9A1's students cannot perform well in university?

Peperiksaan SPMV 2007, masih tinggal dua kertas lagi yang perlu diduduki. Kertas terakhir akan diambil pada 5 Disember 2007 mengikut pilihan pelajar masing-masing.

Sebenarnya, setelah lapan tahun menjadi guru di sekolah kerajaan, inilah kali pertama pengalaman mengawas peperiksaan SPM. Dua jam setengah dan tiga jam mengawas untuk sesuatu kertas, bunyinya agak membosankan. Tetapi, jika anda diberi tanggungjawab sebagai ketua pengawas ataupun timbalan ketua pengawas, pastinya rasa bosan tidak terasa sama sekali. Dapat pula mengendalikan calon seramai 235 orang. Ditambah lagi tujuh subjek pilihan vokasional.

Melihat calon-calon begitu tekun menjawab soalan peperiksaan, teringat pula soalan yang begitu mengetuk mindaku pernah ditanya oleh salah seorang sahabatku Dr MS yang mengajar di sebuah IPTA. "Why 9A1's students cannot perform well in university? Apa cikgu sekolah buat ye ? I mean, ....bla..bla..bla...." Dari komen Dr MS, sekolah memang berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan khususnya SPM yang melayakkan pelajar-pelajar ini melanjutkan pelajaran ke peringkat IPT. Tapi malangnya.... mereka yang cemerlang ini tidak menunjukkan kecemerlangan khususnya apabila diberi tugasan. Mereka dilihat seolah-olah langsung tak boleh memberi idea, apatah lagi generate idea.

Ha..ha....hem.... Aku la cikgu sekolah tu ye? 2007 adalah tahun ke lima aku diberi kepercayaan mengajar subjek Additional Mathematics, dan tahun ke empat mengajar pelajar-pelajar tingkatan lima subjek ini. 2004, 2005 dan 2006 aku soranglah guru yang mengajarnya untuk ke empat-empat kelas tingkatan lima. Dan setiap tahun, pencapaian sentiasa bertambah baik. 2004- 64.8%, 2005 - 76.4% dan 2006 - 80.6%. Bilangan A1 pula semakin bertambah. Aku memang rasa amat bersyukur dengan kenaikan ini kerana mudah nak menjawab sewaktu mesyuarat post moterm SPM di sekolah.

Namun begitu, jauh di benak hatiku aku sebenarnya langusng tidak merasa puas mendidik anak-anak muridku di sekolah. Setiap tahun, pada awal sesi persekolahan, warga guru akan dimaklumkan sasaran pencapaian peperiksaan yang seharusnya dicapai untuk PMR dan SPM untuk peringkat daerah dan kebangsaan. Kemudian, kami akan tetapkan unjuran sekolah. Inilah sebenarnya core bisness sekolah yang mana melalui kecemerlangan inilah sekolah mudah mendapat nama. Pengarah Pelajaran Negeri tempat ku bertugas ( baru dilantik pertengah tahun ini) pula terang-terangan menyatakan akademik adalah fokus utamanya.

Sebenarnya aku melihat "sistem" yang sebenarnya bermasalah. Lihat sahaja Kementerian Pendidikan dari segi nama telah ditukar kepada Kementerian Pelajaran. Sewaktu alam universiti dahulu, aku begitu kagum dengan Falsafah Pendidikan Negara yang ku yakini bakal melahirkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Namun kini, aku agak begitu menyesal kerana pendidikan yang begitu penting peranannya dalam mencorak generasi yang akan meneruskan kepimpinan negara ini, dengan mudahnya diubah begitu dan begini sesuka rasa. Tukar sahaja kepimpinan, bertukarlah dasar. Paling malang, dasar ditukar atas kepentingan politik untuk mandapat nama semata-mata. Tiada kajian ataupun penyelidikan dibuat sebelum sesuatu dasar dibuat. Malas rasanya nak cerita banyak-banyak. Apatah lagi siapalah aku nak bercerita pasal dasar ni?

Menjawab persoalan Dr MS, sekolah sebenarnya menyediakan program-program khas untuk pelajar-pelajar cemerlang peperiksaan. Ibubapa juga tidak kurang usahanya dalam memastikan kecemerlangan anak-anak sehingga ada yang sanggup berhabis ratusan ringgit untuk menghantar anak ke pusat-pusat tuisyen. Guru-guru juga sentiasa diberi pendedahan skema pemarkahan terkini untuk subjek-subjek yang diajar. Setiap kali waktu mengajar di dalam bilik darjah, penekanan teknik menjawab sangat-sangat diambil berat. Manalah anak murid tak cemerlang peperiksaan? Allahuakbar!
Allahuakbar! Allahuakbar! ....... "Exam oriented lak pulak jadinya". Diringkaskan cerita, pelajar-pelajar sekolah ni macam di "spoon feed". Maka tak hairanlah "9A1's students cannot perform well in university"

Allahu a'lam.

Anda Bijak Jauhi Zina

Anda Bijak Jauhi Zina
“Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (QS Al-Isra’, 17/32)